JASIN 26 Ogos - Ahli keluarga bekas Timbalan
Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba melahirkan rasa dukacita
terhadap keputusan salah seorang anaknya iaitu Tamrin keluar dari UMNO
dan menyertai Pas.
Anak ketiga Allahyarham, Datin Zainun Tun Ghafar berkata, beliau
tidak nampak sebarang alasan terbaik buat abangnya untuk keluar dari
UMNO.
"Beliau (Tamrin) sepatutnya lebih matang dan UMNO telah banyak
berjasa kepadanya hingga beliau menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam dan
Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek.
"Abang saya telah memperoleh nikmat dan keistimewaan sepanjang
penglibatan dalam UMNO dan saya serta seluruh ahli keluarga tidak nampak
kenapa beliau mesti merajuk dan meninggalkan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari
Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah di Jalan
Pengkalan Pernu, Kampung Pernu di sini hari ini.
Zainun menegaskan, keputusan yang diambil oleh Tamrin itu tidak
mewakili keseluruhan adik-beradiknya mahu pun ahli keluarga yang lain.
"Kami enam daripada tujuh beradik seperti juga Allahyarham bapa akan
terus menyokong UMNO dan tidak mungkin mengikut jejak langkah Tamrin,"
ujarnya.
Katanya, seluruh ahli keluarganya terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh abangnya itu apabila mengumumkan keluar dari UMNO.
Sebelum ini, katanya, abangnya itu tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti atau melahirkan rasa kecewa terhadap UMNO.
"Kami adik-beradik kerap berjumpa dengan Tamrin tetapi tidak ada pula
dia memberitahu hasratnya untuk keluar dari UMNO," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan