KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pemuda UMNO mengutuk keras
kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan
yang mempersenda dan memperlekehkan semangat juang yang dipamerkan oleh
pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di temasya Olimpik London
semalam.
Exconya, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, pemimpin pakatan
pembangkang itu mempamerkan sikap buruk sedangkan semua rakyat Malaysia
bersatu memberi sokongan jitu kepada Chong Wei.
"Amat keterlaluan beliau dengan nada mengejek telah menghina nama
jaguh badminton negara kita dengan menukar nama ketiganya dari Wei
kepada AWAY yang bermaksud jauh dalam bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Khairun berkata, Manoharan wajar segera memohon maaf secara terbuka kepada Chong Wei ekoran kenyataan menghinanya itu.
"Sekiranya beliau gagal, adalah munasabah untuk kita membuat andaian
bahawa ejekan dan sindiran tersebut adalah pendirian rasmi parti DAP dan
pakatan pembangkang," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pemimpin pembangkang seperti
Manoharan mempunyai pemikiran yang begitu cetek dan ketandusan idea
apabila membuat kenyataan seperti itu.
"Ini menunjukkan beliau hanya tahu membangkitkan isu-isu yang kecil
dan bukannya isu besar seperti air di Selangor atau menyelesaikan
masalah rakyat.
"Segala-galanya mahu dipolitikkan sehingga sukan pun perlu
dipolitikkan. Chong Wei adalah rakyat Malaysia sejati kerana
perjuangannya dan semua rakyat Malaysia bangga terhadapnya tetapi orang
seperti Manoharan tidak layak dipanggil sebagai rakyat Malaysia kerana
memperlekehkan pengorbanan Chong Wei," katanya.
Beliau berkata, adalah amat mudah untuk berkata-kata namun sudah
pasti sukar bagi seseorang termasuk Manoharan sendiri untuk melakukan
apa yang telah dilakukan oleh Chong Wei.
"Manoharan patut merasai sendiri apa yang dilalui Chong Wei. Cuba dia
lawan badminton dengan budak sekolah rendah dahulu tengok sama ada dia
boleh menang atau tidak. Janganlah bercakap tanpa guna akal fikiran,
tambahan pula dia seorang wakil rakyat," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Wong
Koon Mun berkata, tindakan pemimpin DAP itu mempolitikkan Sukan Olimpik
adalah perbuatan yang sangat memualkan dan melunturkan semangat
kesukanan.
Katanya, kenyataan Manoharan bahawa pakatan pembangkang akan
memberikan pingat emas di Sukan Olimpik 2016 sekiranya menguasai
Putrajaya merupakan kenyataan politik yang tidak berasas dan tidak
berkaitan dengan pembangunan sukan.
"Katakan negara maju seperti Amerika, Australia, Korea Selatan, dan
United Kingdom yang sering bertukar kerajaan, ataupun negara satu parti
seperti China serta Korea Utara, kemajuan para atlet sukan sebenarnya
ditentukan oleh latihan keras berterusan dan displin yang tinggi bagi
mencapai kejayaan,"katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya pakatan pembangkang begitu hebat, mengapa
negeri Selangor gagal mencapai kejayaan yang membanggakan di Sukan
Malaysia (Sukma) sejak diambil alih oleh pakatan pembangkang pada tahun
2008.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan