12 Ogos 2012

Apabila undi DAP dijatuhkan berdosa...

BEBERAPA ulama di luar politik kepartian telah mengeluarkan seruan agar umat Islam di negara ini menolak DAP kerana parti itu secara terang-terangan menentang perjuangan Islam dan haram bagi sesiapa yang menyokong dan mengundi parti tersebut.
Kenyataan senada para ulama itu sudah pasti menimbulkan keresahan bagi penyokong Pas memandangkan parti Islam itu kini tidur sebantal dengan parti yang secara muktamad menolak pelaksanaan hudud dan penubuhan negara Islam seperti yang dirancang Pas.
Lalu bagaimana pula dengan maklum balas pucuk pimpinan Pas terutama Mursyidul Amnya, Presiden dan Dewan Ulama parti itu berikutan seruan para ulama berkenaan?
Bak kata blog MyKMU (www.mykmu.net), Pas tidak mungkin berganjak dengan keputusan bersekutu dengan DAP malahan mereka akan balik menyerang para ulama berkenaan dengan pelbagai sumpah seranah dan maki hamun.
“Terang-terang Karpal Singh dan DAP menegaskan bahawa mereka akan menentang agenda Islam itu bermati-matian, apakah Pas pekak atau sengaja tulikan telinga dan matikan akal mereka untuk berfikir sebagai seorang yang mengaku “pejuang Islam"?
“Jadi apa lagi yang ditunggu Pas? Pas tunggu DAP ludah mereka, pijak al-Quran dan menghina Rasulullah maka baru mereka mahu bertindak?," kata blog ini.
Memberi maklum balas terhadap seruan para ulama berkenaan, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan membuat kenyataan tidak menolak bahawa haram mengundi golongan yang menentang Islam tetapi dibolehkan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.
Malahan beliau berkata, hukum tersebut boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu dan “kita sedia maklum UMNO dan BN menolak perjuangan Islam dan hukum hudud."
Sehubungan dengan itu, Beruang Biru dalam blog Jeffry Damien (jeffrydamien09.blogspot.com) menempelak Pas yang terus bersekongkol dengan DAP yang secara terbuka menentang agenda Islam tetapi pada masa yang sama menghalalkan usaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang didakwa turut menentang Islam.
“Nampaknya, Pas meletakkan UMNO/BN yang telah membina beribu-ribu masjid, melahirkan begitu banyak ulama dalam berbagai bidang, menjaga kebajikan rakyat, memelihara keamanan dan menyeru kepada perpaduan sepertimana yang dituntut Islam, sebagai jauh lebih ‘kafir’ dari kafir harbi DAP.
“Kini, para ulama telah pun menyatakan hukum bekerjasama dengan DAP mengikut Islam iaitu haram, dan Dewan Ulama Pas juga telah menyatakan hukumnya mengikut ideologi Pas iaitu harus.
“Jelas, Pas telah memilih untuk mengutamakan politik dari agama maka dengan itu tiada guna lagi bagi kita mempersoalkan pendirian mahupun hala tuju parti tersebut selepas ini," katanya.
Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com) turut memberi maklum balas terhadap kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan.
Beliau mempersoalkan sikap Pas yang terus “mengkafirkan" UMNO sedangkan sejak merdeka sehingga kini tidak ada satu pun kenyataan daripada pemimpin UMNO yang setara dengan kenyataan Karpal yang meminta “langkah mayatnya dahulu jika Pas mahu melaksanakan negara Islam."
“Penentangan secara tegas keluar dari mulut Karpal Singh, tetapi UMNO pula yang dicap sebagai “sudah sedia maklum memang menentang perjuangan Islam".
“Siapa Pas dan siapa majlis fatwa Pas yang memutuskan terlebih awal bahawa “sudah sedia maklum bahawa UMNO menolak Islam?" katanya.
Lebih menarik, Pas dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat didakwa ketika menjadi Ketua Dewan Ulama Pas dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung Pas pada 22 Januari 1986 pernah membuat keputusan bahawa “Pas sama sekali tidak boleh/dilarang bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang bukan Islam".
Perkara tersebut didedahkan oleh blog Darul Ehsan Today (darulehsantoday.blogspot.com) dengan turut menyiarkan sebahagian dokumen yang mengandungi keputusan mesyuarat tersebut.
Blog itu mendakwa, Nik Aziz turut berada dalam mesyuarat berkenaan serta turut menentang kerjasama dengan DAP.
“Dan kini, segala yang diludahkan oleh Nik Aziz 26 tahun dulu dijilatnya balik, jilat sampai licin sehingga tidak nampak bekas yang satu masa dulu dia pernah meludah..."
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12 

Tiada ulasan: