PULAU PINANG 9 Ogos - DAP tidak akan berganjak dan terus konsisten
dengan pendiriannya menentang penubuhan negara Islam kerana ia merupakan
asas perjuangan parti itu.
Bekas ahlinya, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, parti berkenaan
akan memastikan undang-undang Islam tidak dilaksanakan di negara ini dan
Perlembagaan tidak diubah untuk tujuan tersebut.
Justeru, beliau yang pernah berjuang bersama DAP selama tujuh tahun
menegaskan, amat mustahil untuk Pas melaksanakan hukum hudud selagi
masih bergabung dengan DAP.
"Pas mungkin dalam keadaan tertekan dan mahu melaksanakan hudud semata-mata hendak mendapat sokongan pengundi.
"Tapi saya ingatkan kepada Pas jangan bermimpi di siang hari selagi masih bersama DAP," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kelmarin, pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah
mengingatkan umat Islam supaya tidak menyokong DAP kerana ia adalah
haram dan berdosa memandangkan parti itu secara terang-terangan
menentang penubuhan negara Islam serta hukum hudud.
Abdullah juga menegaskan, umat Islam tidak boleh menyokong mana-mana
pihak yang bekerjasama dengan DAP kerana ia akan turut membawa
kemenangan kepada parti tersebut.
Mohamed Razali berkata, keadaan Pas yang semakin tertekan untuk
mendapat simpati penyokongnya boleh dilihat semasa debat di antara Ketua
Pemudanya, Nasrudin Hassan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja,
Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya baru-baru
ini.
Menurutnya, Nasrudin sanggup memutarbelit fakta berhubung kompromi Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap hukum hudud.
"Kalau dia (Nasrudin) tidak percaya dan nak berdebat dengan saya
tentang pendirian DAP dalam isu ini, saya terima cabaran dia," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan