KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pertelingkahan berpanjangan
di antara Pas dan DAP mengenai hasrat melaksanakan hudud sejak lebih 10
tahun lalu dilihat berpunca daripada kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian tegas mengenai hukum Islam
berkenaan.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra
Muzaffar berkata, tindakan Anwar selaku Penasihat PKR yang membisu
sehingga kini, membawa kesan negatif kepada pakatan pembangkang seperti
disaksikan kebelakang ini.
Katanya, Anwar melalui PKR yang telah berjaya menyatukan Pas dan DAP
mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan segala perkara berbangkit
di antara pakatan pembangkang itu dapat diselesaikan secara berhemah.
"Tindakan membisu Anwar ini amat berbahaya kerana sehingga kini
seingat saya, beliau menyokong hudud atas kapasiti peribadi tetapi tidak
pula memasukkannya dalam perjanjian Buku Jingga pembangkang, jadi apakah maksudnya.
"Berbeza dengan Parti Perikatan (kini Barisan Nasional), ia dengan
berani dan penuh tanggungjawab menyelesaikan isu kedudukan istimewa
Melayu, keistimewaan bahasa Melayu, Islam, hak kaum lain dan
kewarganegaraan sebelum negara mencapai kemerdekaan," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Chandra mengulas kenyataan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang,
Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang mendedahkan ahli Pas peringkat akar
umbi kini mahu parti itu meninggalkan pembangkang ekoran pendirian
Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Islam.
Bekas Setiausaha Pemuda PKR, Lokman Noor Adam pula berkata,
perjuangan asal Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan dasar negara
Islam kini semakin terkubur kerana parti yang menggunakan label Islam
itu dilihat semakin tunduk kepada DAP serta PKR.
Lebih menyedihkan, katanya, Anwar yang merupakan bekas Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat kini bersekongkol dengan
DAP untuk menekan Pas bagi menggugurkan slogan 'Negara Islam' kepada
'Negara Berkebajikan.'
"Pada 1999, Anwar yang berada dalam penjara gagal menyatukan Pas dan
DAP tetapi setelah keluar penjara beliau mampu meletakkan ketiga-tiga
parti di bawah satu payung dan saya yakin Pas setuju mengenepikan
perjuangan Islam atas tekanan dan pujukan Anwar," katanya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari memberitahu, taktik Ketua
Pembangkang itu yang mengamalkan dasar pecah dan perintah k atas Pas
serta DAP kini dilihat semakin memakan diri beliau sendiri.
Justeru, katanya, ia merupakan bukti jelas bahawa pakatan pembangkang
yang dianggotai oleh tiga parti berkenaan sehingga kini tidak mempunyai
hala tuju jelas dalam perjuangan tetapi sekadar mahu mengambil alih
pentadbiran negara daripada BN,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan