KUCHING 10 Ogos - Rakyat hanya perlu menggunakan
akal fikiran dan tidak semestinya menjadi 'rocket scientist' untuk
menilai pelbagai janji yang ditabur parti pembangkang, kata Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, jika dihitung janji pembangkang seperti mahu
menurunkan harga minyak, pendidikan percuma, penurunan tol dan harga
kereta kebanyakannya tidak mungkin dapat ditunaikan.
Sedangkan, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai hala
tuju yang jelas umpamanya melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP)
berbanding pembangkang yang hanya bersandarkan isu.
"Segala-galanya (janji pembangkang) kalau kita hitung negara akan
bankrap dalam satu malam, dia pun tahu tidak boleh buat sebab itu dia
takut apabila kita gunakan tema Janji Ditepati.
"Ia bukan bermotif politik kerana Janji Ditepati itu merupakan
prinsip Islam dan sejagat," katanya yang berucap pada Majlis Berbuka
Puasa Bersama Perdana Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sarawak, di sini hari ini.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan
Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan
Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, pemimpin kanan negeri dan
kira-kira 1,000 tetamu jemputan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menegaskan beliau yakin
Bumi Kenyalang masih lagi bumi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli komponen BN merapatkan perpaduan di kalangan mereka.
"Di bawah pimpinan Pehin Seri (Abdul Taib) kita boleh bekerja dengan
rapat bersama-sama apabila banyak perkara yang telah kita rundingkan di
samping kita menghormati hak Sarawak, Sarawak juga menghormati hak
kerajaan Pusat.
"Apabila kita saling memahami, tiada masalah yang tidak dapat kita
selesaikan, masalah akan sentiasa ada tetapi tiada masalah yang tidak
boleh diselesaikan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan