KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak layak
mengeluarkan sebarang kenyataan tentang hukum hudud kerana beliau tidak
memahami undang-undang Islam itu secara mendalam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, Ahli Parlimen Jelutong itu juga tidak sepatutnya mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.
"Adalah mustahil bagi Karpal untuk memberi ulasan atau kritikan terhadap perkara yang beliau sendiri tidak faham.
"Pada pandangan saya, Karpal melakukan kesilapan yang besar apabila memberi pandangan tentang hukum hudud," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, Pas sepatutnya memainkan peranan memperjelaskan
kepada pemimpin-pemimpin DAP tentang hasrat parti itu melaksanakan hukum
hudud.
"Memandangkan Pas gagal menjalankan peranannya secara berkesan, kini
tanggungjawab itu terpaksa dipikul oleh kita semua khususnya pertubuhan
bukan kerajaan Islam," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad
berkata, Karpal sepatutnya mengambil inisiatif meneliti dan mempelajari
semua aspek berkaitan hukum hudud sebelum mempertikaikannya.
Katanya, Karpal juga perlu melihat sama ada undang-undang moden yang diimport dari negara barat mampu mencegah jenayah.
Menurut Ismail Mina, keengganan Karpal berkompromi dengan hasrat Pas
untuk melaksanakan hukum hudud menimbulkan persoalan kerana parti
tersebut mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan DAP berhubung isu
berkenaan.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan