SEMEMANGNYA kalau mahu dilihat dari segi maruah
dan martabat sebagai sebuah parti Islam, Pas seharusnya sudah lama
meninggalkan pakatan pembangkang. Ia kerana sepanjang berada dalam
pakatan berkenaan bersama-sama PKR dan DAP, Pas bagaikan melukut di tepi
gantang.
Isu hukum hudud yang kembali menjadi polemik antara parti itu dan DAP
sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati ahli Pas di peringkat
akar umbi bukanlah ujian pertama untuk melihat keberanian politik Pas.
Tetapi sebaliknya kepimpinan Pas sudah banyak kali diuji oleh
pemimpin-pemimpin PKR dan DAP namun Pas tetap bersabar kerana bimbang
jika mereka terlalu keras maka musnahlah impian mereka untuk berkongsi
kuasa dengan kedua-dua parti itu di Putrajaya.
Katalah apa sahaja termasuk pemimpin DAP bersikap biadab seperti mana
kata bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
tetapi bagi pemimpin atasan dalam Pas, mereka tidak akan kisah itu
semua.
Kesudahan mereka akan menganggap desakan supaya keluar daripada
pakatan hanyalah dibuat oleh segelintir ahli sahaja dan lebih menarik
mereka akan menganggap isu hukum hudud ini adalah mainan media.
Oleh itu tidak payahlah kita hendak serabut kepala atau semak perut
untuk memikirkan sama ada Pas akan keluar daripada pakatan atau tidak.
Dalam keadaan pemimpin-pemimpin atasan Pas dibuai mimpi ciptaan PKR
ke Putrajaya dan takut dengan mainan politik madah berhelah DAP, tiada
siapa pun dalam Pas yang berani mengemukakan usul supaya parti itu
keluar daripada pakatan.
Pemimpin-pemimpin Pas hanya berani bersuara lantang dan mendesak
diadakan muktamar luar biasa bagi membincangkan isu muzakarah dengan
UMNO kerana mereka tidak mahu muzakarah itu diadakan.
Pemimpin-pemimpin Pas hanya berani membuat tuduhan kononnya UMNO
menolak Islam dan sudah pasti mereka juga bersedia mengadakan road show
ke seluruh negara untuk membangkitkan semangat di kalangan ahli mereka
menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tetapi percayalah dalam soal penentangan DAP terhadap hukum hudud
ini, Pas akan menjadi seperti kura-kura yang akan menyembunyikan kepala
di dalam cengkerangnya.
Pemimpin Pas tidak kiralah sama ada daripada Dewan Pemuda mahupun
Dewan Ulama apatah lagi Dewan Muslimat tidak akan berani bersuara dalam
soal ini.
Kenyataan kononnya Pas tetap akan memperjuangkan hukum hudud hanyalah
sandiwara politik dan inilah tafsiran yang dibuat oleh penganalisis
politik, Ahmad Masrizal Muhammad.
Ketika ditanya pandangan beliau dalam soal ini, Ahmad Masrizal
berkata, Pas bercakap atas kapasiti untuk mendapat laba politik dan
mengekalkan kuasa serta pengaruh pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu
dan Kedah yang rata-rata daripadanya begitu sensitif dengan isu hudud.
''Jika Pas dilihat mengalah kepada DAP, mereka tahu padahnya dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Maka strategi terbaik adalah menjanjikan
apa yang rakyat suka dan mahu. Soal mampu buat atau tidak itu kira
belakang, janji legasi politik perlu dikekalkan," katanya ketika
dihubungi penulis.
Jika pemimpin-pemimpin Pas tidak bersetuju dengan pandangan ini,
mereka perlu bersuara terutamanya Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.
Tetapi soalnya beranikah pemimpin-pemimpin kedua-dua dewan itu
membuat satu desakan yang benar-benar melambangkan ketegasan dan
keberanian mereka.
Setakat ini apa yang kita lihat Dewan Pemuda Pas hanya berani
mengedarkan risalah menentang konsert hiburan, memenuhi himpunan haram
anjuran pembangkang dan berdebat dengan pemimpin UMNO sahaja.
Mereka seolah-olah tidak ada keberanian untuk membuat desakan kepada
pucuk pimpinan parti bagi melakukan tindakan yang bertujuan
mempertahankan maruah dan martabat Pas seperti mana dalam isu hudud ini.
Biar pun pemimpin Pemuda Pas bercakap berdegar-degar soal Islam
sehingga sanggup menyelak kitab itu dan kitab ini selain hadis dan ayat
al-Quran bagi mempertahankan hujah mereka ketika berdepan dengan UMNO
tetapi kita percaya keberanian mereka hanya setakat itu sahaja.
Apabila menyentuh sahaja soal ketegasan DAP atau pemimpin PKR, maka kecut perutlah Dewan Pemuda untuk bersuara lebih.
Bagi Dewan Ulama pula, mereka sudah dianggap tiada apa-apa suara
lagi, kuasa politik semakin terhakis dan mereka kini tidak ubah hanyalah
menjadi pelengkap carta bagi sebuah organisasi.
Ulama-ulama Pas semakin tidak mampu bersuara, kalau pun bersuara ia
hanya ibarat melepas batuk di tangga sahaja' atau boleh dianggap
perbuatan sia-sia.
Tiada siapa pun di dalam Pas yang akan mempedulikannya kerana parti
itu kini bukan bergantung kepada golongan ulama untuk meraih kuasa
politik tetapi kepada pemimpin PKR dan DAP.
Suara dan teguran pemimpin kedua-dua parti itu lebih diterima oleh
kepimpinan Pas berbanding suara ulama. Sebab itulah kita saksikan
perjalanan politik Pas kelam-kabut dan tiada arah. Semua itu berlaku
kerana Pas meletakkan matlamat menguasai Putrajaya mengatasi
segala-galanya.
Sebab itulah, kita saksikan dalam hukum hudud ini hanya beberapa
kerat sahaja pemimpin-pemimpin Pas bersuara, itu pun kenyataan yang
dilihat dibuat secara cukup berhati-hati bagi mengelakkan
pemimpin-pemimpin DAP tersinggung.
Apa pun, dalam hukum hudud ini tidak perlulah kita mengharapkan
sesuatu yang drastik akan dilakukan oleh Pas. Katalah apa sahaja mereka
sahaja sama ada kuda tunggangan, pak sanggup atau pak turut, semuanya
akan ditelan oleh Pas kerana parti itu sudah terlalu ghairah mahu
berkuasa bersama-sama PKR dan DAP ke Putrajaya.
Tidak apalah kalau pemimpin-pemimpin Pas terpaksa terus bersahabat
dan mempertahankan salah laku moral pemimpin PKR dan tidak apalah kalau
Pas terpaksa akur dengan ketegasan DAP menentang hukum hudud asalkan
'jangan tinggalkan daku' ke Putrajaya.
Justeru sebarang desakan atau harapan ahli-ahli akar umbi untuk
melihat kepimpinan Pas tegas dalam berhadapan dengan isu hukum hudud
yang ditentang oleh DAP hanyalah sia-sia.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa hukum hudud hanyalah modal
politik Pas untuk menang pilihan raya, perjuangan negara Islam seperti
mana kata seorang pemimpin Pas tidak lama dulu boleh ditinggalkan jika
ia menyusahkan hubungan dengan PKR dan DAP dan perlu akur bahawa Pas
adalah pejuang negara berkebajikan.
Apa pun Pas hendak lakukan, mereka perlu merujuk dulu kepada 'Buku
Jingga', kalau apa yang mereka hendak lakukan tidak ada dalam buku
berkenaan, maka lupakan sahaja. Usah berhujah soal apa yang terkandung
dalam al-Quran dan hadis seperti mana dilakukan oleh golongan ulama
ketika mereka mula-mula menubuhkan Pas.
Kalau pun pemimpin Pas hendak berhujah dengan menggunakan kedua-dua
sumber itu apakah pemimpin PKR dan DAP akan akur sedangkan mereka sudah
bertahaluf siyasi dengan kedua-dua parti itu melalui 'Buku Jingga'.
Kesimpulannya, dalam soal isu hukum hudud ini anggap sahaja semua
polemik yang berlaku hanyalah sandiwara politik kerana Pas kini amat
memahami bagaimana kedudukan pengaruh politik mereka berikutan
keterujaan berkawan dengan PKR dan DAP.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan