30 Ogos 2012

Kerajaan PKR gagal tepati janji

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keengganan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk membayar tunggakan subsidi bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada pemilik kediaman yang menggunakan meter pukal di negeri ini merupakan petanda kegagalan mereka untuk menunaikan janji kepada rakyat.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, keputusan kerajaan negeri itu jelas tidak selari dengan janji mereka menerusi manifesto pilihan raya 2008 untuk memberikan air percuma kepada rakyat.
Tambahnya, keputusan tidak membayar sebarang tunggakan subsidi bekalan air tersebut dilihat sebagai putar belit kerajaan negeri serta alasan mereka untuk menutup ketidakupayaan menunaikan janji berkenaan.
"Janji mereka selama ini hanya indah khabar daripada rupa, sepatutnya tiada perbezaan dalam memberikan air percuma sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal, malah majoriti penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal merupakan rakyat berpendapatan rendah yang patut dibela kebajikan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad memberitahu, Kerajaan PKR Selangor memutuskan tidak akan membayar tunggakan subsidi bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada mana-mana kediaman rakyat yang menggunakan meter air pukal di negeri ini.
Katanya, keputusan tersebut telah dimaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac lalu.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa kerajaan negeri berhutang lebih RM300 juta kepada beribu-ribu penduduk di negeri itu kerana gagal menunaikan janji memberikan air percuma secara menyeluruh sejak 2008.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin berkata, isu itu timbul kerana kegagalan perancangan, urus tadbir dan kepincangan kerajaan negeri dalam memberikan air percuma kepada rakyat.
"Bagaimana kerajaan negeri mahu mengambil alih pengurusan Syabas sekiranya isu seperti itu pun mereka gagal menguruskannya dengan baik.
"Golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya tinggal di pangsapuri pasti menerima kesan atas kegagalan kerajaan negeri Selangor itu," ujarnya.
Tambahnya, jika kerajaan negeri ikhlas dalam membela nasib rakyat, mereka sepatutnya mencari langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu tersebut secara menyeluruh.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Tiada ulasan: