KOTA BHARU 23 Ogos - Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri
Kelantan sedang mengenal pasti 20 kawasan di jajahan Tumpat, Pasir Mas,
Bachok dan Tanah Merah untuk pemasangan alat penapis air bagi memproses
air dari sumber sungai dan telaga.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata kos pemasangan alat penapis di kawasan terbabit
dianggarkan berjumlah RM2 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju menambah
peruntukan bagi pemasangan alat penapis tersebut kerana prihatin dengan
nasib penduduk di kawasan terbabit yang berada di tahap kritikal untuk
mendapatkan air bersih, katanya kepada pemberita selepas menghadiri
Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga JPP Kelantan di sini, hari
ini.
Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera
mengatasi masalah bekalan air bersih di Kampung Derdap di Tumpat dan
Kampung Kubang Bemban di Pasir Mas, dengan memasang alat penapis yang
setiap unit berharga RM95,000 bagi memproses air telaga.
Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan
Negeri Kelantan, berkata langkah segera Kerajaan Persekutuan itu
berikutan bekalan air bersih yang dibekalkan syarikat Air Kelantan Sdn
Bhd kepada penduduk di kawasan terbabit tidak mencukupi.- BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan