KOTA BHARU 5 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji masalah air
yang berlaku di negeri ini akan selesai dalam tempoh singkat sekiranya
rakyat Kelantan memberi kuasa kepada Barisan Nasional (BN) untuk
memerintah.
Perdana Menteri berkata, keperluan asas itu penting untuk memastikan
transformasi kerajaan yang dicanang di seluruh negara turut dapat
dinikmati oleh segenap lapisan rakyat Kelantan.
Menurutnya, pelbagai rintihan rakyat telah diajukan kepadanya justeru
beliau berasa simpati dan akan memastikan segalanya dapat diatasi demi
kemudahan dan kebajikan mereka.
"Macam mana mahu lakukan transformasi kalau masalah air tak selesai
lagi. Tidak payah sebut lebuh raya, di tempat lain pelabuhan manakala di
Bachok pula lebuh raya bertingkat.
"Universiti sudah ada di negeri ini tetapi masalah asas masih belum
diselesaikan dan petang tadi saya sampai di sini rakyat Kelantan berikan
saya memorandum masalah air, justeru berikan kuasa kepada BN dan
masalah air akan selesai dalam tempoh terdekat," katanya pada Majlis
Solat Tarawih Perdana dan Amanat Perdana Menteri di Yayasan Kemiskinan
Kelantan di sini malam ini.
Masalah ketiadaan bekalan air telah berlaku di negeri ini lebih 20
tahun lalu di bawah pemerintahan Kerajaan Pas Kelantan malah dianggarkan
lebih 60 peratus rakyat negeri ini masih gagal mendapat bekalan air
bersih.
Najib berkata, pemerintahan Islam adalah berkonsepkan islah iaitu
membawa perubahan besar kepada negara dengan berlandaskan al-Quran.
Tegasnya, Islam tidak boleh lari daripada diperjuangkan seiring
dengan pembangunan demi memastikan negara ini disanjung tinggi di mata
dunia.
"Kita nak Islam dan kemajuan, bukannya Islam tetapi mundur. Kita mahu
Islam supaya Malaysia maju dan kita mahu dunia melihat kita maju dan
makmur tetapi seiring dengan al-Quran,'' ujarnya..
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menikmati hidangan colek
bersama lebih 10,000 penduduk sekitar yang hadir. Turut hadir Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua
UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Gabungan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan
menyerahkan surat kepada Perdana Menteri sempena lawatan beliau ke
negeri ini hari ini bagi memohon peruntukan kewangan untuk mengatasi
masalah ketiadaan air bersih yang sering melanda beberapa daerah di
sini.
Surat tersebut diserahkan melalui wakil mereka, Azmi Ali yang juga
Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan dan Yang Dipertua Pertubuhan
Pribumi Perkasa Kelantan (Perkasa), Fauzi Mamat.
Berdasarkan surat yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO
berkenaan, mereka memohon Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak
RM200,000 untuk setiap Parlimen melalui Tabung Bencana Banjir yang akan
diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan