
Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 akan melibatkan rakyat yang sebahagian besarnya generasi muda. - Gambar hiasan
*****
TIDAK ada peliknya dengan tema Hari Kemerdekaan ke-55, Janji Ditepati.
Jemaah Menteri setelah melihat senario negara selama 55 tahun di
bawah enam Perdana Menteri, mendapati semua janji asas prasarana telah
tercapai. Ini termasuk perundangan, pendidikan, perdagangan dan
pembangunan bandar dan luar bandar.
Maka itu, kerajaan Pusat tetap dengan Janji Ditepati yang akan
diilustrasikan pada 31 Ogos ini di padang Dataran Merdeka dan malam hari
berkenaan.
Pada malam itu dianggarkan lebih 100,000 orang akan berkumpul di
Stadium Nasional Bukit Jalil. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak akan berucap menghuraikan antara lain kenapa dan apa sebenarnya
makna janji ditepati. Di bawah pentadbiran dan pemerintahan beliau kini
memuncak ke peringkat maksimum di mana elemen feel good dan keseronokan tinggal di Malaysia dapat dirasai.
"Kalau pembangkang berkata ini (tema merdeka) tidak boleh disokong
atau disertai, ia terserah sebab ini negara demokrasi. Lagipun sekarang
kebanyakan hadangan sudah tiada. Tetapi rakyat tentu berfikir betul atau
tidak janji ditepati itu menepati perjuangan Barisan Nasional, UMNO dan
lain-lain selama 55 tahun," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) kepada saya Khamis lalu di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Perayaan merdeka kali ini memang lain dari sebelumnya. Ia akan
melibatkan rakyat dan sebahagian besar generasi muda - generasi Y.
Walaupun demikian, perayaan di Dataran Merdeka akan merupakan perayaan
janji ditepati dengan penglibatan tradisional. Bagaimanapun, kata Rais,
sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 itu nanti tidak ada perubahan daripada
dulu. Tinggal lagi kali ini berkemungkinan ia akan membariskan para
penjawat awam dalam perbarisan di samping polis dan tentera.
"Tetapi kita tidak akan mengemukakan perarakan peralatan atau kereta
berhias seperti dahulu. Kita akan lebih menunjukkan kepada sekutu kita
bersama. Malah saya sudah menulis surat kepada MCA, MIC, Gerakan untuk
menghantar seramai mungkin anak buah mereka ke perayaan di Dataran
Merdeka dan di Bukit Jalil.
"Jadi, di Dataran Merdeka, diduga program akan habis dalam sejam
setengah. Pagi di padang Dataran Merdeka itu akan dipenuhi dengan
kegiatan dan penglibatan pelbagai kaum di samping acara-acara
tradisional yang menyerlahkan Rukun Negara yang mendukung
prinsip-prinsip lima terkandung di dalamnya. Dan juga memberi
penghormatan kepada kumpulan-kumpulan keamanan, kepolisan dan penjawat
awam.
"Bagi generasi muda, kita akan berikan sajiannya menerusi
program-program yang mirip kepada jiwa mereka di padang. Habis sahaja
sejam setengah itu, malamnya kita ke Bukit Jalil. Di situ juga kita
menduga antara 100,000 ke 110,000 orang akan hadir. Oleh kerana 31 Ogos
suasana raya masih ada, maka di luar stadium kita akan cuba paparkan
suasana hari raya itu kepada orang ramai dan dijemput warga Kuala
Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka khasnya untuk bersama-sama pada malam
itu," kata Rais.
Menurut Rais lagi, dalam stadium itu juga akan dipromosikan beberapa
aspek transformasi kerajaan. Di situ akan dibawa Perdana Menteri dan
beberapa pihak berarak keliling stadium dengan brassband. Nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk IM4U turut disajikan untuk menarik orang-orang muda.
"Kita akan beri anugerah kepada warga Malaysia ulung dalam
bidang-bidang khusus dan mereka yang mencerminkan kehidupan transformasi
yang jelas kita akan sohorkan.
"Juga, kita akan beri peluang kepada Perdana Menteri untuk berucap
buat pertama kali pada hari merdeka. Dan akan dapatlah kita lihat apa
yang nak diwarnai beliau dalam ucapannya.
"Jadi, dengan serius kita memohon para hadirin hari itu jangan masuk
stadium dengan tiupan. Dulu kita lihat trompet mulut ini merosakkan
majlis. Jadi kita akan pastikan ini tidak berlaku supaya apa-apa ucapan
dapat kita dengar di situ. Pembesar-pembesar lama kita seperti Tun Dr.
Mahathir (Mohamad) dan Tun Abdullah (Ahmad Badawi) akan hadir. Saya rasa
ia akan mewujudkan suasana dan bahang kekitaan yang lebih daripada
biasa," katanya.
Kata beliau: "Kita cuba kata supaya nasionalisme itu dicetuskan. Jadi
pada malam itu akan gunakan sepenuhnya bendera kita, jalur gemilang
kita. Kita akan gunakan belia kita yang rancak yang boleh bergerak dan
pelbagai program yang terbaris kepada uniform kita akan buat. Secara
rumusan, ia akan jadi persembahan yang sangat pelbagai."
"Memang lain temanya. Janji Ditepati memang ada pengertian. Kita
mengisi apa yang dituntut. Jadi, kalau ada pihak berasa yang ini tidak
benar, mereka boleh pilih untuk bersetuju atau tidak.
"Kalau dilihatkan di Malaysia, tiada konflik seperti perang. Perang
tiada, pertelingkahan kumpulan juga tiada. Jadi, mereka sudah mula
membuahkan kemungkinan-kemungkinan perbuatan kasar dengan ini semua.
Berkemungkinan juga saya dengar mereka hendak membuat kumpulan-kumpulan
Bersih 4," katanya.
Kata Rais lagi, ia adalah gara-gara mereka yang tidak mempedulikan keamanan.
"Mereka terasa bahawa dalam masa kekacauan, mereka boleh merampas
kuasa atau meraih sokongan rakyat. Kalau itu yang mereka duga, saya rasa
mereka akan kecewa. Jelas bahawa, rakyat majoritinya akan memihak
kepada kerajaan BN. Tinggal lagi nisbahnya kita tidak tahu," katanya.
Sebab itu, kata Rais, sesiapa yang mengatakan kerajaan tidak menepati
janji, sudah tentu pengetahuannya cetek. "Kerana itu kita menyatakan
apa salahnya kita slogankan Janji Ditepati. Tinggal lagi, apabila
melihat semua kejayaan ini, pembangkang tentu merasa sukar. Sebab Janji
Ditepati rakyat telah menerima.
"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Susu
1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan macam-macam lagi termasuk
durian runtuh untuk Felda. Tidak dapat kita mengira banyaknya yang telah
dihamburkan kepada rakyat.
Jadi, pembangkang rasa tersudut. Mereka melenting dan mengatakan ini
(sambutan merdeka) tidak patut disertai. Dan tidak cukup dengan itu,
mereka mengatakan lagu Janji Ditepati itupun adalah lagu yang ditiru
dari tempat lain.
"Mereka dah tiada modal sampaikan lagu pun mereka cuba kritik. Memang
lirik lagu Janji Ditepati itu saya yang cuba jalinkan dengan iramanya.
Tapi irama itu dikarang oleh mereka yang telah memenangi peraduan
kugiran terbaik RTM pada 2010.
"Saya mencabar mereka buktikan lagu ini lagu orang lain. Tapi kalau
terbukti, saya bersedia untuk diseret ke mahkamah," kata Rais.
Pembangkang boleh sebut apapun tema Hari Kemerdekaan. 'Sebangsa,
Seneraga, Sejiwa' ataupun 'Bergerak Bersama'. Itu mereka boleh luahkan.
Cuma, dengan perbuatan begitu, adakah mereka mempunyai penghormatan
kepada merdeka.
Tetapi kalau ini dilakukan buat pertama kali dalam sejarah merdeka,
bahananya rakyat dipisahkan dengan kenyataan oleh politik pembangkang.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan