29 Ogos 2012

'Paranoia' politik sekeping gambar

Nasharudin Mat Isa melambai tangan kepada jurugambar sebelum meninggalkan perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari Jeddah, baru-baru ini. - BERNAMA
*****
NAMPAKNYA, ia menjadi satu 'dosa politik' yang besar apabila seorang pemimpin parti politik duduk bergambar dengan seorang pemimpin yang berbeza aliran politik.
Dosa politik ini pantas menjadi polemik apabila dilanjutkan dengan pelbagai tekanan demi tekanan, mendesak seorang bekas Timbalan Presiden parti 'Islam' menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku. Demikianlah bagaimana aura ketaksuban politik boleh menyebabkan manusia menjadi emosional dan tertekan.
Tekanan demi tekanan diberikan kepada Nasharuddin Mat Isa (Ahli Parlimen Bachok) untuk memperjelaskan tindakannya dalam pertemuan para ulama di Mekah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rupa-rupanya dalam fahaman politik Pas, menyertai pertemuan dengan ulama ini menjadi dosa politik yang boleh sahaja membawa kepada kematian awal politik kepada pemimpin tertentu. Ghairah dengan kononnya budaya politik tinggi 'tahaluf siyasi', yang membenarkan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan Islam - Pas 'menjerat' YB Nasha dengan isu ini.
Malangnya, dek kerana tekanan kepada isu ini, banyaklah respons yang sebenarnya menampilkan Pas sebagai parti yang jumud, tidak terbuka kepada perbezaan pandangan dan meletakkan 'batas mutlak' kepada sebarang kerjasama dengan kerajaan. Apakah ini budaya politik yang Islamik dan terkehadapan sifatnya?
Paranoia Pas kepada gambar YB Nasha bersama Perdana Menteri ini boleh dilihat melalui nilaian beberapa tajuk utama portal berita media baru yang ada beberapa hari ini: Malaysiakini (Hanya musuh gembira dengan kenyataan Nasha, Nasha patut berani berdepan dengan Majlis Syura, Nik Aziz: Lebih baik Nasha keluar Pas, Nik Aziz nafi gesa Nasha keluar Pas); Harakahdaily (Pemuda Pas Kelantan minta Nasharuddin lepas MP Bachok), Selangorku (Kecewa tidak bergabung dengan UMNO punca Nasharuddin Minta Pas Keluar PR: Khalid Samad).
Nyata, Pas kurang bersetuju dengan sikap politik berkawan, bersahabat, berdiskusi dan berbincang dengan UMNO. Kalau menurut kepada analisis pimpinan Pas kepada isu YB Nasha ini - bertemu dengan pimpinan UMNO menjadi 'dosa politik'; namun berkawan dengan DAP akan menjadi 'pahala berpanjangan' yang boleh menzahirkan matlamat Pas untuk ke Putrajaya.
Inilah ideal politik yang cuba dibawa oleh Pas ke penjuru-penjuru kampung bagi menerangkan hubungan luar biasa akrab antara parti Islam dan gerakan politik sosialis DAP tersebut.
Yang mungkin memerangkap Pas adalah apabila Nasharuddin secara jelas menyatakan bahawa perbincangan yang dilakukan di Mekah adalah berkenaan isu-isu yang jauh lebih besar daripada isu Pas-UMNO. Isu Syria. Isu Rohingya. Apakah menjadi 'dosa politik' untuk isu yang bersifat umatik ini diperbincangkan antara pimpinan pelbagai parti?
Antara Ta'aruf dan Tahaluf
Mungkin sebelum Pas beria-ia mempertahan konsep 'tahaluf siyasi', parti itu perlu mendalami satu lagi amalan baik dan positif, iaitu - ta'aruf. Ta'aruf dalam Islam bermaksud berkenal-kenalan antara satu sama lain. Kelompok manusia yang tidak menghayati konsep asas ta'aruf ini umpama haiwan liar yang sentiasa bermusuhan dan tidak mengenal erti perkenalan dan persahabatan.
Dalam Islam, ta'aruf adalah ibadah. Orang yang mengamalkan ta'aruf dilihat mematuhi tuntutan syara'.
Apakah tidak wujud langsung di bawah radar politik Pas untuk mendahulukan konsep ta'aruf yang lebih positif dan akrab antara parti politik yang menjaga kepentingan Islam dan bangsa? Apakah tidak ada langsung ruang untuk mendahulukan 'taa'ruf' berbanding tahaluf?
Justeru, di mana letaknya semangat ukhuwah dan kerjasama erat sesama Islam yang boleh dizahirkan dengan hubungan yang lebih positif antara Pas dan UMNO.
Sejujurnya, ramai masyarakat Islam di luar sana, yang mahu menyaksikan takat interaksi Pas-UMNO yang lebih luas dan positif. Tidak ada maknanya kita berpolitik dengan kaedah 'zero-sum game' sekiranya ia tidak mendatangkan sebarang impak positif kepada perkembangan syiar Islam dan ekonomi umat dalam erti kata yang sebenarnya.
Sikap politik yang meminggir pandangan politik sederhana dan mendahulukan kepentingan 'ta'aruf' ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada umat. Jurang interaksi politik Pas-UMNO inilah yang mengecewakan kalangan rakyat yang mahu melihat semangat politik yang lebih positif dan tidak bersifat menghukum.
Ya, mungkin sahaja Pas dan UMNO berbeza pandangan dalam isu dasar dan polisi; namun ia tidak sama sekali perlu jatuh kepada tahap saling membenci.
Nasharuddin sebenarnya membawa imej politik sederhana yang sangat menyenangkan banyak pihak. Berbeza bahtera politik tidak semestinya membuatkan beliau tidak perlu memberikan sebarang sumbangan kepada isu yang lebih besar dan umatik sifatnya. Ini adalah pendirian politik yang sangat afdal - berbanding dengan faham politik yang membudaya semangat kebencian.
Pas perlu berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan yang terlalu mendadak kepada kalangan ahli yang mengambil pendekatan politik yang sederhana seperti ini.
Parti tersebut akan kelihatan seperti parti yang regresif dan tidak membenarkan perbezaan pandangan jika tindakan diambil kepada suara-suara wasatiyyah yang ada di dalam parti tersebut.
Hukuman Politik?
"Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, Pas Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta."
Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.
Apakah Presiden Pas akan mengeluarkan tindakan sama kepada Nasharuddin kali ini? Biarlah Pas yang membuat keputusan. Namun, secara umum, jika tindakan sama diambil, imej Pas akan terjun dengan teruk kerana tidak sama sekali menggambarkan jiwa besar dalam menerima perbezaan pandangan. Adab al-ikhtilaf (adab berbeza pandangan) dalam Pas akan dengan sendirinya diragui oleh banyak pihak.
PENULIS ialah pemerhati sosio politik.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

Tiada ulasan: