GEORGETOWN 15 Ogos -Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri bersedia
membeli tapak tanah kosong seluas 0.445 hektar di Taman Manggis, Jalan
Zainal Abidin di sini daripada kerajaan negeri untuk dibangunkan dengan
perumahan kos rendah, kata Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Oh Tong
Keong.
Beliau berkata Pemuda BN menawarkan untuk membeli tapak tanah itu
dengan harga RM450 sekaki daripada kerajaan negeri dengan keseluruhan
kos sebanyak RM21 juta.
"Duit tidak menjadi masalah kerana kami akan kumpulkan dana daripada
orang perseorangan dan beberapa syarikat yang sukarela untuk membantu,
apa yang penting sekarang ini keperluan untuk rakyat, kebajikan mereka
harus diutamakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tanah di Taman Manggis itu menjadi isu apabila tapak itu pada mulanya
dicadangkan untuk fasa kedua Projek Perumahan Rakyat (PPR),
bagaimanapun kerajaan DAP negeri telah menjualnya kepada pemaju untuk
membina hotel 19 tingkat, hospital enam tingkat dan tempat letak kereta
lima tingkat.
Oh berkata Pemuda BN akan memastikan pembinaan rumah kos rendah itu
dilaksanakan secepat mungkin sekiranya tawaran itu diterima. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan