
Umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan. - Gambar hiasan
*****
SECARA umumnya, Ramadan terdiri daripada tiga bahagian, 10 hari
terawal, 10 hari pertengahan dan 10 hari terakhir yang penuh rahmat,
berkat dan pengampunan. Oleh itu, 10 malam terakhir adalah puncak kepada
segala ibadah dalam bulan Ramadan.
Sempena 10 hari terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan beriktikaf di
masjid dan memperbanyakkan ibadat-ibadat pada malamnya seperti
Qiamullail dan Solat Sunat Tahajud, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat
Tasbih, berzikir bertahmid, membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah
SWT.
Umat Islam digalakkan menghidupkan malam Ramadan dengan solat. Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Barang
siapa melakukan solat pada malam-malam Ramadan dengan iman dan
mengharap keredaan-Nya, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan
diampunkan. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Inilah juga yang disebut Qiamullail Ramadan. Iaitu barang siapa
melakukan solat malam pada bulan Ramadan sebulan penuh, maka Allah SWT
menjanjikan ampunan daripada segala dosa-dosanya. (rujukal-Qadar: 1-5).
Malam qadar mempunyai beberapa erti, antaranya malam kemuliaan,
kerana pada malam tersebut permulaan diturunkan al-Quran dari Lauh
Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW.
Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari
dan Muslim daripada Aisyah r.a., dan Ibnu Umar bahawa, Nabi SAW telah
beriktikaf di dalam masjid 10 hari terakhir Ramadan.
Pada bulan Ramadan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam
kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh
keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.
Oleh itu, Rasulullah SAW sangat menggalakkan kita berusaha mencari
dan beriktikaf di malam Lailatulqadar. Aisyah r.a., meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Carilah malam Lailatulqadar pada bilangan yang ganjil dalam tempoh sepuluh hari bulan Ramadan. (riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).
Untuk mencari malam Lailatulqadar ini, masjid dan surau sewajarnya diimarahkan demi menggandakan ibadah.
Ini disebabkan 10 malam terakhir terdapat satu malam yang lebih baik
daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar, 10 malam terakhir ini
masjid dan surau sepatutnya penuh seperti sepuluh malam pertama.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa
solat malam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan harapan
pahala daripada Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari).
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan