
OH Teong Keong (tengah) bersama
pemuda Barisan Nasional mengadakan sidang akhbar bagi menuntut
penjelasan daripada Lim Guan Eng mengenai isu penjualan tanah Projek
Perumahan Rakyat Taman Manggis di Georgetown Pulau Pinang semalam.
*****
PULAU PINANG 10 Ogos - Pemuda Barisan Nasional
(BN) negeri hari ini mendedahkan tapak tanah kosong seluas 0.45 hektar
di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini dimiliki oleh kerajaan DAP
negeri.
Ketua Penerangan Pemuda BN negeri, H'ng Khoon Leong berkata,
berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian negeri, ia menunjukkan tanah
kosong di Taman Manggis itu masih dimiliki oleh kerajaan DAP Pulau
Pinang.
Kata beliau, pihaknya telah meminta peguam menulis surat kepada
Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk mendapatkan pengesahan mengenai
status tapak tanah di Taman Manggis itu minggu lalu, tetapi sehingga
kini masih belum mendapat jawapan.
"Kami ingin tahu sama ada Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberikan 'hak
istimewa' kepada pemaju Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn.
Bhd. dengan mengekalkan status pemilik adalah kerajaan DAP negeri. Ini
seolah-olah membantu pemaju mengelak daripada membayar cukai dan
tafsiran tanah.
"Pada masa sama, kerajaan DAP juga menawarkan harga yang rendah
daripada pasaran pada tahun 2009 iaitu RM232 setiap kaki persegi dengan
nilai RM11,552,208. Padahal, nilai tanah itu sejak 2006 adalah RM450
setiap kaki persegi," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan BN,
Jalan Datuk Kramat di sini.
Hadir sama Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong dan Ketua Pemuda MIC negeri, J. Dhina.
Isu tanah di Taman Manggis yang sepatutnya dicadangkan untuk Projek
Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua itu didedahkan oleh Pemuda BN negeri
pada Jun lalu kerana tidak berpuas hati kerana telah dijual oleh
kerajaan DAP negeri kepada pemaju untuk membina 19 tingkat hotel, enam
tingkat hospital dan lima tingkat tempat letak kereta.
Dalam pada itu, Khoon Leong juga mempersoalkan sekiranya pemilik
tanah itu masih di bawah nama kerajaan DAP negeri, bagaimana Kuala
Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. boleh memohon kelulusan
membina Hospital Pakar Victoria di bawah Victoria International Medical
Centre Sdn. Bhd. walaupun masih belum sah memiliki tanah itu.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan