Berikut adalah sedutan petikan surat seorang pimpinan cawangan Pas
kepada Nasharudin Mat Isa seperti yang disiarkan di Facebook Presiden
Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, Sabtu lalu.
Assalamualaikum,Ke hadapan yang dihormati YB Ustaz Nasharudin Mat
Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang juga merangkap Ahli Parlimen
Bachok, Kelantan. Semoga keadaan ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh
Allah SWT.
Mengenangkan semula perkembangan apa yang berlaku dalam seminggu dua
ini, saya terpanggil untuk mengutuskan surat ini kepada ustaz.
Adapun surat ini tidaklah bertujuan apa-apa, hanya untuk memberitahu
akan betapa gembiranya hati saya melihat gambar ustaz bersama-sama
pemimpin UMNO bertemu dengan para ilmuwan dan cerdik pandai agama dari
Arab Saudi, membincangkan tentang permasalahan ummah sejagat.
Saya juga amat bersyukur akan pegangan ustaz terhadap pendirian
penyatuan dan perpaduan ummah di Malaysia ini tidak pernah berubah.
Kegembiraan saya tidak terbendung lagi di saat mengenangkan bagaimana
agama Islam di Malaysia ini semakin berani diinjak-injak oleh bangsa
lain, apatah lagi ia turut didokong oleh kepimpinan beberapa orang Islam
sendiri.
Untuk makluman ustaz juga, saya merupakan penyokong kuat parti Pas
dan merupakan pemimpin di sebuah cawangan Pas di negeri Melaka.
Untuk pengetahuan ustaz juga, saya telah menjadi ahli Pas semenjak
usia saya mencapai had boleh mengundi dan sehingga sekarang saya kira
sudah hampir 30 tahun saya berjuang di dalam Pas.
Banyak perkara susah senang yang telah saya lihat sepanjang
penglibatan saya selaku ahli Pas. Jatuh bangun dalam parti perkara
biasa. Saya juga telah melepaskan jawatan di dalam perkhidmatan awam
demi memperjuangkan agenda parti.
Susah senang saya tanggung didokong oleh sokongan anak dan isteri
serta beberapa kawan. Namun tiada perkara yang boleh menggoyahkan
sokongan saya sehinggalah beberapa perkara yang berlaku sejak
akhir-akhir ini.
Tidak pernah saya merasakan kesedihan dan kekesalan teramat sangat,
namun sekarang segalanya telah jelas untuk saya mengambil tindakan untuk
berubah.
Antaranya, apabila saya melihat nasib seorang pejuang Islam yang
tulen seperti YB (Datuk) Dr. Hasan Ali yang disingkir apabila cuba
mempertahankan akidah umat Islam di Selangor.
Saya sering terbayangkan sekiranya jika Dr. Hasan Ali tidak membuat
pendedahan itu, apa akan jadi pada anak cucu kita? Pada mulanya saya
mengagak pasti kepimpinan Pas tertinggi akan menyelidik dan membela Dr.
Hasan Ali demi akidah, namun perkara yang memeranjatkan pula berlaku.
Betapa lemahnya iman kita dalam mempertahankan saudara kita padahal dia berjuang di jalan Allah.
Kepimpinan Pas pusat mengambil keputusan memecat beliau tanpa
pembelaan demi memenuhi tuntutan sahabat politik kita, DAP. Ya Allah Ya
Tuhanku, malunya hamba-Mu ini untuk menghadap-Mu nanti.
Ustaz bayangkan perasaan saya tatkala putera saya yang telah saya
didik untuk menyambung perjuangan saya kini yang menjadi Pemuda Pas,
berasa malu akan tindakan ketuanya itu.
Dia bertanyakan kepada saya, benarkah apa yang kita perjuangkan selama ini wahai ayah? Tak terjawab saya.
Sebenarnya ustaz banyak lagi perkara yang berlaku membuatkan saya
sering berfikir dan bermuhasabah akan kebenaran perjuangan parti ini,
selepas menyaksikan seorang demi seorang ulama tersingkir.
Terkini saya mengikuti rapat perkembangan mengenai ustaz. Saya
setakat ini masih lagi ahli Pas namun sekiranya ustaz turut tersingkir
atau ustaz keluar, percayalah saya akan mengikuti jejak langkah ustaz
bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sebenarnya mereka semua sudah lama hilang semangat dan kepercayaan
terhadap perjuangan Pas ini namun sayalah yang sering memujuk mereka
untuk bersabar.
Namun kini kesabaran saya sendiri hilang disebabkan hilangnya
kepercayaan terhadap kepimpinan pusat yang melebihkan politik dan
Putrajaya sehingga menggadaikan agama Islam itu sendiri.
Apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih sekiranya ustaz dapat meluangkan masa membaca warkah saya ini.
Percayalah semangat memperjuangkan Islam tidak pernah luntur di hati
saya namun nampaknya peluang untuk memperjuangkan Islam di dalam Pas
semakin kelam dan saya percaya pasti ada sisi lain atau pihak lain yang
lebih ikhlas memperjuangkan Islam dan perpaduan ummah berbanding Pas.
Sehingga ini sahaja sempat saya catatkan untuk ustaz. Saya juga
berdoa agar Allah menetapkan hati ustaz dan hati saya sekeluarga juga
agar tidak terpaling ke arah godaan duniawi dan godaan musuh Islam. Amin Ya Rabbal Alamin. Assalamualaikum.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan