MEKAH 14 Ogos - Beberapa tokoh ulama dari Arab Saudi hari ini
menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya meletakkan Islam
sebagai teras kepada kemajuan.
Tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad
Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh Dr Sulaiman Al Salumi dan
Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish menyatakan pandangan mereka
itu dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini.
Ketiga-tiga tokoh agama bersama dua lagi pemimpin Islam terkenal
iaitu Penasihat Wasir TV Channel Sheikh Dr Abdul Rahim Mulazadah dan
Pengerusi Al Maijd TV Dr Hammad Mohamad Al Ghammas mengunjungi Perdana
Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di kota suci Makkah
mulai hari ini.
Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini, ketiga-tiga ulama Arab
Saudi itu memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan
Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun
rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Katanya para ulama Arab Saudi juga kagum dengan kepimpinan kerajaan
Malaysia yang memupuk hubungan baik antara ulama dan umarak dan mahukan
negara Islam lain menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang
maju.
"Kita juga memaklumkan mengenai konsep Wasatiyah yang kita pegang
dari dulu dan di peringkat negeri pula kita mempunyai enakmen yang
menyebut pegangan kita ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan
berlaku sebarang konflik dan kerosakan akidah dan sebagainya," kata
beliau.
Ulama itu berpendapat pendekatan kerajaan terhadap kepimpinan yang
berteraskan Islam itu telah mengelakkan Malaysia daripada menghadapi
sebarang konflik seperti negara majmuk yang lain. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 14/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan