SUKAR diramal apa yang ada dalam fikiran seorang
guru tuisyen di Tangkak apabila dia bertindak mengedarkan karikatur yang
menghina Islam kepada para pelajarnya.
Biasanya apabila seseorang itu bertindak hingga ke tahap tersebut
sudah tentu tersimpan rasa benci yang amat sangat dalam hatinya terhadap
sesuatu.
Sudah tertentu antara persoalan yang timbul ekoran insiden itu ialah
apa yang menyebabkan guru tuisyen tersebut benci sangat kepada Islam
hingga bertindak menghina para sahabat Rasulullah dan Islam?
Apakah disebabkan dia terpengaruh dengan dakyah-dakyah barat terhadap
Islam? Atau dia mewarisi kebencian daripada sistem sosial yang ada
disekelilingnya yang mengajar supaya memusuhi dan menghina Islam?
Apakah dengan tindakan itu, guru terbabit berniat pula menerapkan perasaan benci yang sama kepada para pelajar di bawahnya?
Cara guru tersebut bertindak seolah-oleh dia berada dalam komunitinya
yang tertutup dan tidak pernah bertemu apatah lagi bergaul dengan
masyarakat Islam.
Tindakannya itu seolah-olah membayangkan mereka yang beragama Islam
dan bukan Islam di negara ini hidup terasing dan tidak bergantung antara
satu sama lain.
Sebab itu, rasa benci, marah dan dendam terhadap sesuatu agama dan
kaum diluahkan dengan begitu terbuka hingga ke tahap menghina agama dan
kepercayaan orang lain.
Ini menunjukkan sikap hormat menghormati dan saling menerima
kepelbagaian kaum dan agama yang ada disekeliling kita langsung tidak
ada dalam jiwa guru tersebut.
Ini bukan isu main-main. Ini merupakan satu penghinaan kepada umat
Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia iaitu lebih dari 60
peratus.
Lebih membimbangkan, yang terbabit dalam menghina Islam itu adalah
seorang guru. Maka timbul satu lagi pertanyaan, sudah berapa ramai murid
yang diterapkan dengan elemen benci terhadap Islam oleh guru tersebut?
Atau selain pusat tuisyen tersebut, adakah terdapat pusat-pusat
tuisyen dan pusat pendidikan lain yang turut menyebarkan doktrin yang
sama (benci Islam) tetapi tidak diketahui umum?
Cuma kita harapkan apa yang dilakukan oleh guru terbabit tidak
mencerminkan apa yang berlaku di pusat-pusat tuisyen dan sekolah-sekolah
kendalian bukan Islam.
Adakah dengan insiden itu juga kita boleh buat kesimpulan bahawa
toleransi antara kaum dan agama tidak lagi diajar? Sebaliknya (dengan
berdasarkan kepada insiden di pusat tuisyen Tangkak itu) generasi muda
kini ditanam dengan sifat benci membenci antara satu sama lain.
Bukan setakat melalui kata-kata, tetapi lebih parah apabila ia membabitkan perbuatan.
Cuma kita di Malaysia beruntung kerana umat Islam cukup bertolak
ansur dan cukup bersederhana serta terbuka. Sebab itu, biarpun
penghinaan itu membabit para sahabat nabi dan membabitkan penghinaan
kepada akidah umat Islam, namun tidak ada tindakan melulu diambil.
Paling tinggi sekadar buat laporan polis dan minta mereka yang
terbabit minta maaf. Bayangkan jika perkara itu dilakukan oleh orang
Islam terhadap agama lain. Sudah tentu ia menjadi isu yang sangat besar
yang akan dibangkitkan di Parlimen dan disertai desakan menubuhkan
suruhanjaya penyiasatan.
Tetapi disebabkan jiwa umat Islam di negara ini cukup besar dan penuh
dengan tolak ansur maka perbuatan guru tuisyen tersebut tidak
diperbesar-besarkan. Tidak dijadikan polemik.
Pada hal yang dihina itu bukan hal kecil. Ia membabitkan sahabat Nabi
Muhammad yang merupakan junjungan besar umat Islam yang mana ia
membabitkan akidah umat Islam.
Bayangkan jika guru tuisyen terbabit berada di negara-negara lain.
Penghinaan seperti itu selalunya dihukum berdasarkan undang-undang
jalanan.
Oleh itu, jangan ambil kesempatan dan memandang ringan dengan sikap
tolak ansur dan kesederhanaan umat Islam di negara ini. Bagi masyarakat
Melayu yang beragama Islam di Malaysia, sejak dari awal lagi mereka
menerima dan menghormati kehadiran kaum dan agama lain sebagai rakan
senegara.
Sebab itu bukan sahaja di bandar, malah jauh diceruk kampung dan di
kawasan pedalaman yang komuniti bukan Islam tidak sampai satu peratus,
penduduk Islamnya tidak pernah membantah atau menghalang jika mereka
mendirikan tokong atau kuil.
Bukan Islam bebas beribadat dan mengamalkan adat resam dan budaya
mereka. Sebab itu ketika bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri,
kaum lain yang tidak beragama Islam boleh sama-sama menumpang rezeki
yang melimpah ruah.
Kerana sifat sederhana dan toleransi umat Islam itu juga, mereka
tidak mempunyai apa-apa masalah untuk membeli persiapan Ramadan dan
Aidilfitri di kedai-kedai dan pusat-pusat membeli-belah milik bukan
Islam.
Mereka tidak pernah ada rasa dengki ketika bukan Islam menikmati
untung berlipat ganda pada setiap Ramadan dan menjelang Syawal. Malah
jika lihat di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil, kedai-kedai milik
bukan Islam cukup makmur setiap kali tiba bulan Ramadan dan Hari Raya.
Tetapi jangan hanya dalam bab ekonomi yang membabitkan keuntungan
berganda, mereka tidak kisah. Tetapi apabila membabitkan hal-hal
berkaitan dengan sosial dan amalan harian, umat Islam dihina.
Perkara ini perlu dibetulkan. Malaysia berjaya mencapai kestabilan
politik dan kemakmuran ekonomi kerana rakyatnya yang berbilang kaum
saling bekerjasama dan bersatu.
Selagi mereka hidup di bumi Malaysia, setiap kaum yang berbeza agama
itu saling perlu memerlukan dalam aktiviti sosial, ekonomi mahupun
politik.
Sikap menghina kaum dan agama lain boleh mencetuskan pelbagai masalah
yang akan menjejaskan perjalanan sesebuah negara. Jika tidak dibendung
dengan betul ia boleh membawa kepada perbalahan yang serius.
Jika ada perbezaan ideologi politik sekalipun jangan sampai ke tahap
menghina agama kaum lain. Malah Islam sendiri tidak membenarkan umatnya
menghina dan mencaci agama lain.
Sebab itu, masyarakat bukan Islam di negara terutama generasi muda
perlu menerima hakikat bahawa mereka hidup berkongsi negara dengan orang
Islam. Malah orang Islam merupakan penduduk terbesar.
Ini fakta yang tidak boleh disangkal. Jika mahu kestabilan, keamanan
dan kemakmuran yang dinikmati sekarang kekal, maka setiap kaum yang ada
di negara ini perlu saling menerima kehadiran masing-masing dan saling
lengkap melengkapi. Belajarlah menghormati agama yang dianuti jiran kita
dengan sikap ikhlas dan terbuka. Bukannya dengan penuh hipokrasi.
Jangan sesekali mempermain, mempersenda dan menghina umat Islam. Yang
paling penting jangan ambil kesempatan atas kesabaran dan keterbukaan
umat Islam di negara ini.
Bagi para pemimpin politik, pemimpin masyarakat dan guru-guru yang
bukan Islam, mainkan sedikit peranan dengan menerapkan toleransi kaum
dan agama supaya setiap daripada kita menghormati agama, budaya dan hak
orang lain.
Jika ada perbezaan ideologi politik, selesaikan ia ketika pilihan
raya. Jangan sampai perbezaan ideologi itu membawa kepada kebencian dan
penghinaan kepada agama lain.
Selagi kita berada di bumi Malaysia dan bergelar rakyat Malaysia,
maka saban hari kita pasti akan melintasi masjid, tokong, kuil dan
gereja. Sebabnya, rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Jadi
belajarlah untuk hidup saling hormat menghormati dan saling menerima
antara satu sama lain. Jangan jadi katak di bawah tempurung.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan