KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu
seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di
kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya
termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah
semangat 1Malaysia.
Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata
tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi
budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza.
Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia
berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga
beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu
dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.
Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu
puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat
kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri
Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir
masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai
contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu
pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen
terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai
Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang
menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.
Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga
mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan
lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama
suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang
tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu
memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh
dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun
merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih
terjajah tanpa disedari.
Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga
hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini
merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah
dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang
cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan
ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam
kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak
tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan
huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang
eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.
Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam
merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak
negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas
dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk
membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama
masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan
untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.
Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama
berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia.
Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang
keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang
seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi
dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif
perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika
ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.
Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah
pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru
jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan
kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh
semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan
orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering
berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.
Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua
pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan
saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas
hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak
bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.
Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan
terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi
hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa
yang berjaya dan disegani di mata dunia.
Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang
meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga
akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda
diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan
pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang
boleh dibanggakan satu hari nanti.
Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya
bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif
seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau
yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.
Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan
nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan
keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan
pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu
hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan
ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman
hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.
Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu
perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia
berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas
kepentingan kendiri.
/hwa: utusan.com.my : 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan