
Najib Tun Razak melakukan upacara
pecah tanah kampus baru Kolej Universiti MAHSA di Bandar Saujana Putra,
Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Zaki Tun Azmi (tiga dari kanan),
Mohd. Ismail Merican (dua dari kanan), Mohamed Haniffa Abdullah (kiri)
dan Megat Burhainuddin Megat Abdul Rahman (kanan). - UTUSAN/ Abdul Razak
Latif
*****
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan surat pelawaan kepada Kolej
Universiti Malaysian Allied Health Sciences Academy (MAHSA) untuk dinaik
taraf menjadi sebuah universiti.
Najib berkata, persetujuan kerajaan untuk menaiktaraf kolej
universiti itu berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pengurusan
MAHSA dalam memperkasakan pendidikan tinggi.
"Oleh itu, melalui Kementerian Pengajian Tinggi, saya berbesar hati
untuk menyampaikan surat pelawaan ini kepada pengurusan MAHSA.
"Tanpa surat ini, impian MAHSA untuk menjadi sebuah universiti tidak
mungkin tercapai," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian upacara
pecah tanah kampus baharu universiti berkenaan di Bandar Saujana Putra,
Puchong, di sini hari ini.
Turut hadir Canselor Kolej Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi; Pro
Canselor dan Pengerusi universiti, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican;
Pro-Canselor & Pengerusi Eksekutif, Prof. Datuk Dr. Mohamed Haniffa
Abdullah dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Megat Burhainuddin Megat
Abdul Rahman.
Tanah seluas 20.34 hektar akan digunakan bagi membangunkan kampus
berkenaan dan pembangunan fasa pertama dijangka siap pada 2014.
MAHSA ditubuhkan lapan tahun lalu dengan hanya menawarkan pengajian
jurusan Diploma Jururawat dengan pengambil pelajar seramai 38 orang.
Bagaimanapun apabila kampus baharu ini siap sepenuhnya ia dapat
menampung sehingga 15,000 pelajar termasuklah pelajar daripada luar
negara.
Sementara itu, Dr. Mohd. Ismail Merican ketika ditemui berkata,
pelawaan berkenaan akan menjadi pendorong kepada pengurusan universiti
untuk terus berusaha dalam meningkatkan kualiti pengajian selaras dengan
standard antarabangsa.
Malah, katanya, pihak universiti juga akan meningkatkan kerjasama
dengan universiti-universiti antarabangsa terkenal dalam menyediakan
lapangan pengajian terbaik kepada para pelajar.
"Melalui kerjasama-kerjasama itu akan membolehkan MAHSA mencapai
piawaian pengajian antarabangsa. Kita tidak mahu hanya memenuhi piawai
tempatan semata-mata.
"Selain itu, kita juga akan membuat pelaburan bagi mendapatkan tenaga
pengajar dan kemudahan pembelajaran terbaik untuk kemudahan para
penuntut," ujarnya.
Beliau berkata, melalui pelawaan itu, pihak universiti akan terus
berusaha untuk memberikan pendidikan tinggi terbaik kepada seluruh
rakyat termasuk penuntut asing yang berminat melanjutkan pengajian di
negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan