TELUK INTAN 1 Sept. - Kepimpinan Pas kini
diambang perpecahan yang semakin serius ekoran wujud percanggahan ketara
antara golongan ulama dan kelompok 'Anwarinas' berhubung kedudukan
bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sokongan terbuka
golongan ulama Pas terhadap Nasharudin menyebabkan kepimpinan Pas makin
tersepit ekoran menerima tekanan daripada kelompok 'Anwarinas' yang
bersekongkol dengan DAP supaya pemimpin itu disingkirkan.
"Mereka (Pas) takut hendak buat keputusan kerana mereka tersepit.
Jika mereka menyingkirkan Nasharudin, maka mereka akan berdepan
kemarahan golongan ulama.
"Kepimpinan Pas semakin tersepit kerana mereka juga mahu menjaga hati
DAP yang tidak mahu Nasharudin terus berada dalam parti," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO
Bahagian Teluk Intan, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim;
Timbalannya, Azhar Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai
Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Ketua Pemuda UMNO Perak,
Khairul Azwan Harun.
Khairy diminta mengulas sokongan terbuka Timbalan Mursyidul Am Pas,
Datuk Dr. Haron Din yang mempertahankan Nasharudin sambil menegaskan
gesaan pemimpin itu supaya Pas mempertimbangkan semula hubungan dengan
pakatan pembangkang bukannya satu kesalahan.
Pendirian tegas itu dilihat memberi tamparan hebat kepada golongan
'Anwarinas' yang memberi tekanan supaya tindakan dikenakan ke atas
Nasharudin menjelang mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 9 September ini.
Menurut Khairy, pergeseran dalam Pas menyebabkan parti itu semakin
hilang hala tuju sehingga mengundang kritikan daripada ahli akar umbi
terutama melibatkan pendirian dan dasar menubuhkan negara Islam yang
semakin kabur.
"Ini timbul kerana wujud puak-puak dalam Pas, satu puak masih tegar
dalam perjuangan menubuhkan negara Islam dan satu lagi golongan
mengetepikan perjuangan untuk bersama-sama DAP mengejar kuasa," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan