2 September 2012

Pas Negeri Sembilan ambil sikap berkecuali

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pas Negeri Sembilan mengambil pendirian berkecuali berhubung polemik yang timbul ekoran gesaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa agar Pas mempertimbangkan semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, pihaknya menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan terhadap isu tersebut pada mesyuarat yang akan diadakan pada 9 September ini.
''Kita berharap isu ini akan diselesaikan pada mesyuarat tersebut kerana ia telah lama berlarutan. Pas perlu lebih fokus kepada isu-isu lain yang lebih besar.
''Pas Negeri Sembilan juga akan menyuarakan pandangan pada mesyuarat itu namun saya tidak boleh dedahkan sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang menegaskan gesaan yang dibuat oleh Nasharudin itu adalah wajar dan bukan kesalahan.
Sebelum ini, sokongan terbuka terhadap Nasharudin pernah disuarakan oleh barisan kepimpinan ulama termasuk Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib; Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed; Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman serta pemimpin akar umbi.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12 

Tiada ulasan: