KUALA LUMPUR 3 Sept. - Parti Keadilan Rakyat
(PKR) berbeza pendapat dengan DAP dan Pas berhubung tindakan biadab
peserta Himpunan Janji Bersih yang didalangi beberapa pemimpin
pembangkang yang mahu menukar Jalur Gemilang dengan bendera baru.
Ketika pemimpin DAP dan Pas tegas menyifatkan perbuatan biadab itu
sebagai provokasi untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara,
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyalahkan UMNO dan
Barisan Nasional (BN) yang dituduhnya buta sejarah.
Anwar yang langsung tidak mengutuk tindakan itu mendakwa, bendera
yang direka Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Mohd.
Najwan Halimi itu adalah 'sang saka merah putih' dan ia dikibarkan
sebagai tanda mengingati pejuang-pejuang kemerdekaan.
"Tiada niat untuk tukar bendera Malaysia. Hanya UMNO dan BN yang
tidak mahu belajar sejarah perjuang dahulu. Anak-anak muda kibar pada
malam itu kerana mahu kita ingat kembali kepada pejuang-pejuang
kemerdekaan," katanya sebagaimana dipetik di portal Keadilandaily.
Dalam pada itu, berbeza dengan Anwar, Naib Presiden Pas, Salahuddin
Ayub berkata, perbuatan tidak bertamadun kumpulan terbabit apatah lagi
pada malam merdeka jelas tidak bertanggungjawab kerana Jalur Gemilang
merupakan identiti kepada kedaulatan Malaysia.
Malah, beliau langsung tidak mahu Pas dikaitkan dengan perbuatan
beberapa pemimpin pembangkang yang mendalangi perhimpunan itu khususnya
daripada PKR.
"Pas tiada agenda atau niat menukar bendera Malaysia. Ia tidak
termasuk dalam perjuangan kami. Ia provokasi bagi menimbulkan suasana
tidak harmoni. Kita kutuk perbuatan itu. Ia tidak bertanggungjawab,"
katanya.
Salahuddin sehubungan itu mahu pihak berkuasa menyiasat perkara
tersebut dengan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas
semua yang terlibat.
Menyentuh isu sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula
melabelkan tindakan peserta perhimpunan itu sebagai melampaui batas.
Namun, beliau menegaskan, perkara itu tidak ada kena-mengena dengan pendirian pembangkang.
"Ini tidak boleh diterima. Jalur Gemilang sudah diterima seluruh
rakyat. Kalau mahu tukar, ini sudah melampau dan tidak bertanggungjawab.
"Kita mengutuk perbuatan ini. Bagi Pas, kita desak siasatan secara
telus dilakukan untuk kita tahu apakah motif di sebalik perbuatan itu,"
ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata,
bendera Jalur Gemilang sudah diterima segenap lapisan masyarakat sejak
sekian lama dan ia melambangkan perpaduan negara yang berbilang kaum.
"Saya sokong bendera kita. Jangan kita bangkitkan lagi. Kita kena
sayang negara dan Jalur Gemilang adalah lambang kita. Bendera Malaysia
mempunyai lambang-lambang yang bermakna dan bersejarah," tegasnya.
---
"Lambang yang mewakili semua negeri dan masyarakat majmuk perlu
dikekalkan, saya tidak pernah dengar ada yang mahu tukar bendera, tidak
nampak siapa bincang kerana semua sudah terima dan tiada yang
dipersoalkan," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan