KUALA LUMPUR 5 Sept. - Penerapan budaya kebebasan yang melampau oleh
pemimpin pembangkang terhadap pengikut mereka khususnya dalam kalangan
generasi muda menjadi punca utama sikap biadab serta tidak bertamadun
penyokong parti itu sejak akhir-akhir ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan
tegas perlu diambil terhadap pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang bertanggungjawab menerapkan nilai tidak baik
tersebut.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat bekerjasama
dengan pembangkang dalam menerapkan unsur tidak sihat itu juga wajar
dikenakan tindakan segera memandangkan budaya berkenaan tidak baik untuk
rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
Pemimpin pembangkang khususnya Anwar serta pemimpin NGO yang
menyokong mereka seperti Datuk S. Ambiga bertanggungjawab menyemai
budaya kebebasan melampau termasuk seks bebas, biadab, bencikan
pemimpin, raja, ulama malah agama serta rasul.
Tindakan tegas wajar diambil oleh pihak berkuasa terhadap anak-anak
muda yang terlibat menghina bendera negara dan memijak gambar pemimpin
pada malam ambang merdeka lalu.
Namun tindakan tegas dan tanpa kompromi juga wajib dikenakan
terhadap pemimpin politik pembangkang serta NGO yang menjadi punca utama
tindakan tersebut berlaku," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden biadab peserta perhimpunan Janji Bersih
memijak serta menunjukkan punggung kepada gambar Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada
sambutan malam ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini minggu
lalu.
Menurut Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan
(AMK), media-media yang menjadi perkakas kepada golongan tersebut
seperti Malaysiakini juga perlu dikenakan tindakan.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu
segera bertindak terhadap Malaysiakini kerana mendakwa portal berita itu
setiap hari menyemai elemen negatif kepada minda masyarakat khususnya
generasi muda.
Saya hairan mengapa SKMM masih tidak mengambil sebarang tindakan
terhadap portal berita melampau seperti Malaysiakini dan yang seangkatan
dengannya sehingga ke hari ini. Kita perlu bertindak segera, portal
berita melampau seperti itu menyemai elemen tidak baik kepada rakyat,"
jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan