SETIAP tahun apabila datangnya bulan sambutan
kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini,
dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga
ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan
Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan
Malaysia.
Ia bukan sahaja menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari
kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga menandakan tradisi 'syukur',
'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan yang telah berlaku dan
apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan
perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan
kepimpinan.
Pencapaian 55 tahun merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang
membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika pengisian dan pencapaian
kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering dijadikan contoh
sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta pencapaian
selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia gagah
di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara
Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun
dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak
pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.
Hakikatnya, Malaysia sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan
pembangunan pesat. Bagaimanakah Malaysia boleh tersenarai antara 21
negara paling kompetitif dalam Laporan World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012;
yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012;
pendapatan perkapita negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK
pula RM830.7 bilion tertinggi sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu
RM185.54 bilion.
Setiap warga harus boleh mengimbas dan menilai persekitaran dan alam
sekitar mereka untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu
bertanyakan mana datangnya pembangunan ekonomi, politik dan sosial
sehingga Malaysia dihormati dan diiktiraf oleh negara mundur, pesat
membangun dan maju.
Apakah dalam jangkamasa 63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh
bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang menjunjung
ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi
warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
dalam merangka Wawasan 2020?
Insan yang menghuni negara ini ketika itu dan generasi transisi ke
arah itu kini barangkali sudah boleh bergelar 'kelas satu di negara
kelas pertama', bukan sahaja memiliki infrastruktur dan prasarana
kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan yang ada ilmu,
kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada perilaku
dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai
kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari
titik keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang
akan terus mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.
Ia juga amat memerlukan jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan
semata-mata menaikkan bendera pada bangunan, rumah atau kenderaan. Ia
juga bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku. Ia juga bukan sekadar
menghormati nilai simbolik kenegaraan. Pembangunan juga adalah
nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga kebersihan, mempunyai
kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang membanggakan,
peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran lebih
baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja
yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa
unsur positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan
dengan pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.
Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang
terlibat secara langsung dalam proses merekayasa negara tetapi kita
boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun kemerdekaan, kita lebih banyak
diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan diri atau pencapaian
mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan sebarang
kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa.
Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah
garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan
Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai
dengan memelihara kebajikan mereka.
Kita juga menyedari bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian
tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan untuk mempertahankan nilai
kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah membayangi kita akan
berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun sehingga
bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar
politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa,
berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.
Jangan menumpang simpati sisipan sejarah kerana tiada sebarang
pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam cubaan mendapatkan
merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata merdeka dan
Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada
pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.
Tanpa Kontrak Sosial tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa
Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012.
Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama tanpa mengira
latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan
kepelbagaian negara ini.
Pejuang kemerdekaan tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai
merendahkan diri dengan tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan
ketika itu, semua yang baru hendak naik tidak sombong atau biadab tetapi
kuat, tabah dan ampuh dengan pujian perwatakan; penekanan kepada nilai
hormati antara satu sama lain.
Kemerdekaan tidak boleh ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup
muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam keadaan tidak menentu, ia
tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh kesemua warga yang
sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik kemerdekaan.
Persahabatan dengan penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita
senyapkan sejarah merdeka dengan kemungkaran kita. Pengisian
kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan jika kita mahu
memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan pembentukan
negara ini dalam acuan sendiri.
Kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati.
Perjuangan kemerdekaan bukan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah.
Ini perjuangan bersama walaupun fahaman politik berbeza. Keangkuhan
tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata mahu melihat erti
merdeka dari lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian merdeka, jangan
biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan sopan
sila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan
bersatu.
Mari kongsi kesedihan dan kegembiraan negara atas nama Malaysia.
Melalui kepercayaan ini kita mampu mengharungi apa sahaja masalah
bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat lakukannya kerana
percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama boleh
digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai
sebenar di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.
Pengisian kemerdekaan adalah pelengkap kepada transformasi yang
merupakan satu perjalanan yang memerlukan kestabilan sepanjang masa dan
bukan keadaan tidak menentu terutama dalam demografi dan populasi yang
majmuk dan kompleks seperti Malaysia.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan