Najib Tun Razak bersama sebahagian
para pemerhati selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian
Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, semalam. -
BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 1 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan
kepimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) berganding bahu
bagi membentuk 'sekatan politik' terhadap impian pakatan pembangkang
yang mahu menduduki Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri berkata, pakatan pembangkang sebenarnya tidak mampu
memerintah negara dan mencipta kemajuan demi kemajuan dan kejayaan demi
kejayaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN sejak 55 tahun lalu.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sebab itu UMNO dan parti
komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh
menang tetapi menang besar pada pilihan raya nanti.
"Kalau mereka ada slogan 'Road to Putrajaya', kita nak sekat mereka
jangan sampai ke Putrajaya, tetapi bukan buat sekatan polis tetapi
dengan politik.
"Ini kerana mereka tidak layak duduk (memerintah) Putrajaya sebab
kita yang membangunkannya dan mereka juga telah lakukan pembohongan demi
pembohongan, janji tidak pernah dikotakan serta mereka ada banyak
cerita yang masih tidak selesai," tegasnya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau turut menghadiri Rumah Terbuka Parlimen Putrajaya sempena Aidilfitri.
Najib berkata, barisan kepimpinan dan ahli UMNO serta BN perlu
bekerja kuat bagi memastikan BN bukan hanya mempertahankan Putrajaya,
malah meraih kemenangan lebih besar dalam pilihan raya nanti.
Beliau berkata, mereka juga seharusnya memahami realiti dan
persekitaran baru hari ini yang berpegang kepada amalan demokrasi
berparlimen iaitu tidak wujud kekebalan politik.
"Sebab itu saya minta kita semua bersemangat dan jangan letih kerana
dalam perjuangan kita tidak akan berundur seinci atau satu saat pun
untuk jamin masa depan cukup hebat.
"Secara simboliknya, UMNO Bahagian Putrajaya mewakili Wilayah
Persekutuan Putrajaya, maka maju mundur bahagian ini menjadi penentu
kepada usaha untuk mempertahankan tampuk pemerintahan negara," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan barisan kepimpinan dan ahli parti
yang rata-rata lahir selepas merdeka supaya tidak lupa intipati
perjuangan parti iaitu berkorban apa sahaja dan bersatu-padu untuk
mencapai kejayaan.
"Malah, kira-kira 45 peratus pengundi hari ini adalah generasi muda
dan persoalan timbul apakah pemikiran dan jangkaan mereka sama dengan
generasi terdahulu.
"Walaupun mereka lahir selepas merdeka dan mendapat pendidikan serta
biasiswa hasil perjuangan UMNO dan BN, persoalannya apakah mereka
menyokong kita sepenuh hati," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan