KUALA LUMPUR 11 Sept. - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)
hari ini mengesahkan bahawa Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merupakan
sebuah pertubuhan tidak berdaftar.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu menyatakan bahawa rekod
pendaftaran pertubuhan mendapati Suaram tidak berdaftar dan tidak pernah
mengemukakan permohonan untuk didaftarkan.
Menurut kenyataan itu lagi, untuk pendaftaran di bawah Akta
Pertubuhan 1966, Suaram perlu memenuhi keperluan Jadual 1 Akta
Pertubuhan 1966 yang meliputi alamat urusan, sekurang-kurangnya tujuh
orang ahli (Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966), kutipan yuran ahli serta
perlembagaannya.
Sebuah pertubuhan berdaftar perlu mengadakan mesyuarat agungnya dan
mengemukakan penyata kewangannya dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat
tersebut, menurut kenyataan itu.
Suaram menimbulkan isu apabila dikaitkan secara langsung dengan Suara
Inisiatif Sdn Bhd (SISB), yang menerima sumbangan dana daripada pihak
asing. - BERNAMA
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan