WALAUPUN menghadapi pelbagai tekanan dan
desakan, namun golongan ulama yang menganggotai Majlis Syura Ulama Pas
ternyata konsisten dalam pendirian mereka berhubung kedudukan Nasharudin
Mat Isa.
Justeru apabila majlis berkenaan tidak membuat sebarang keputusan ke
atas bekas Timbalan Presiden Pas itu, ia bukanlah satu kejutan. Ia
memandangkan sejak awal lagi golongan berkenaan telah memberi isyarat
bahawa mereka tidak nampak kenapakah Nasharudin perlu dihukum.
Kenyataan Nasharudin supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu
dalam pakatan pembangkang berikutan penentangan keras DAP terhadap
perjuangan Islam Pas tidak dianggap satu kesalahan bagi golongan ulama.
Sebab itulah, dengan 'diketuai' oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk
Haron Din, beberapa ulama buat kali pertamanya tampil secara terbuka
mempertahankan Nasharudin.
Satu sumber memberitahu penulis, ketegasan golongan ulama itu
mengejutkan kelompok Anwarinas yang sebelum ini menjangkakan mereka akan
mudah menyingkirkan Nasharudin seperti mana berlaku ke atas Datuk
Dr.Hasan Ali.
Tambahan pula, kata sumber itu, puak Anwarinas begitu yakin
Nasharudin akan dipecat kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat dilihat membuat kenyataan cenderung ke arah 'menyokong' impian
mereka.
Apatah lagi, kata sumber tersebut, puak berkenaan juga gembira
apabila seorang pemimpin bertaraf ulama membuat kenyataan dalam portal
propembangkang menggesa Nasharudin dipecat.
''Bagaimanapun keadaan menjadi sebaliknya apabila Haron Din dan Ketua
Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat penegasan bahawa kenyataan
Nasharudin bukanlah satu perkara besar sehingga boleh melibatkan
pemecatan,'' kata sumber itu ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.
Namun begitu, kata sumber itu lagi, puak Anwarinas tetap tidak
berputus asa, selain kenyataan-kenyataan yang dibuat menjurus ke arah
untuk memberi tekanan kepada Majlis Syura membuat keputusan, mereka juga
berdoa 'siang dan malam' agar Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat
majlis berkenaan, kelmarin.
Malahan dalam satu blog propembangkang, seorang pemimpin kanan Pas
daripada golongan Anwarinas dengan penuh yakin menyatakan bahawa
Nasharudin tidak akan hadir kerana Ahli Parlimen itu berada di Jerman.
''Perancangan awal mereka ialah jika Nasharudin tidak hadir, mereka
akan meminta 'penyokong' mereka dalam Majlis Syura membentangkan usul
supaya Nasharudin digugurkan sebagai anggota majlis berkenaan.
''Apabila itu berlaku, ia akan meletakkan status Nasharudin sebagai
ahli Pas biasa dan sekali gus akan membuka laluan untuk memberi kuasa
kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang dikuasai oleh puak Anwarinas memecat
beliau,'' kata sumber itu.
Bagaimanapun sekali lagi impian puak berkenaan tidak kesampaian
apabila Nasharudin dengan wajah ceria muncul di Ibu Pejabat Pas, 10
minit sebelum mesyuarat bermula.
Kemunculan beliau mengejutkan puak-puak Anwarinas yang menurut sumber
tersebut, 'sudah bersedia untuk berpesta' pada malam berkenaan.
''Kehadiran Nasharudin ternyata memusnahkan impian puak Anwarinas
untuk menamatkan karier politik beliau, apatah lagi Nik Abdul Aziz pula
meninggalkan mesyuarat atas sebab tidak sihat,'' kata sumber tersebut.
Apa pun, pendirian Majlis Syura Ulama Pas itu memberi isyarat kepada
puak Anwarinas bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya
menyingkirkan mana-mana ulama semata-mata demi menjaga hubungan dengan
PKR dan DAP.
''Bagi saya, keputusan majlis syura itu adalah satu perakuan dan
pengiktirafan bahawa Majlis Syura Ulama Pas menyokong kenyataan
Nasharudin berhubung kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang dan
perjuangan Islam,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi di
Shah Alam.
Selain itu, kata beliau, keputusan tersebut adalah satu tamparan
kepada kelompok atau puak Anwarinas di dalam Pas yang sebelum ini begitu
ghairah menyokong apa juga yang dilakukan oleh PKR dan DAP demi
mencapai impian ke Putrajaya.
''Tidak semua ahli Pas berkongsi idaman dengan puak-puak Anwarinas
ini, sebab itulah kita saksikan bagaimana Nasharudin mendapat sokongan
yang agak luar biasa daripada ahli-ahli Pas seluruh negara,'' katanya.
Sememangnya sekalung tahniah kepada golongan ulama kerana akhirnya
mereka membuktikan kepada puak-puak Anwarinas bahawa tidak semua
pemimpin Pas begitu teruja hendak ke Putrajaya sehingga sanggup
mengorbankan segala-galanya.
Selain itu, pujian juga harus diberikan kepada Nik Abdul Aziz yang
ternyata masih menunjukkan rasa hormat beliau terhadap pandangan
golongan ulama dalam majlis syura.
Sikap Mursyidul Am Pas itu dikatakan melegakan ahli-ahli di peringkat
umbi kerana sebelum ini mereka berasa bimbang memandangkan puak
Anwarinas kebiasaannya akan menggunakan pengaruh Nik Abdul Aziz bagi
mencapai impian mereka.
''Tetapi ternyata Nik Abdul Aziz menunjukkan jiwa besar, apabila
tidak terikut-ikut dengan puak Anwarinas, sebaliknya mahu menerima
keputusan dan pendirian golongan ulama dalam Pas,'' kata seorang
pemimpin Pas di sebuah bahagian di Kedah dalam SMS kepada penulis.
Apa pun, golongan ulama telah memberi isyarat kepada
pemimpin-pemimpin PKR supaya janganlah cuba mengajar mereka bagaimana
untuk menguruskan parti.
Mungkin mereka berhasil dalam misi menyingkirkan Dr. Hasan, tetapi
keadaan akan menjadi sebaliknya jika bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu
diberi kesempatan untuk membuat penjelasan kepada Majlis Syura.
Ia memandangkan, perjuangan Nasharudin tiada bezanya dengan Dr. Hasan yang tidak rela Pas diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.
Selain itu, kedua-dua mereka juga mahu Pas kekal dengan dasar
perjuangan asal dengan memastikan matlamat memperjuangkan negara Islam
dan hukum hudud tidak ditinggalkan.
Walaupun Dr. Hasan 'tidak dapat diselamatkan' oleh golongan ulama
namun keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura berhubung kes Nasharudin
adalah isyarat kepada DAP bahawa tidak kira apa pun berlaku golongan
berkenaan tetap tidak akan meninggalkan perjuangan Islam dan hukum
hudud.
Keadaan ini juga sudah tentulah akan merimaskan puak Anwarinas yang mula merasakan bahang ketegasan golongan ulama.
Bagaimanapun ramai yang percaya usaha puak Anwarinas untuk menamatkan
karier politik Nasharudin tidak akan berakhir. Setakat ini pun mereka
dilihat sudah berjaya apabila Nasharudin dikatakan tidak akan dicalonkan
semula dalam pilihan raya umum akan datang.
Tetapi ini bukan bermaksud, mereka akan menempuh laluan mudah untuk
menyingkirkan mana-mana ulama yang tidak sehaluan dengan mereka.
Ia memandangkan Majlis Syura Ulama telah memberi isyarat yang jelas
dalam kes Nasharudin bahawa mereka masih lagi berkuasa dan berpengaruh
untuk mengendalikan Pas serta tidak akan menjadi 'pak turut' seperti
mana puak Anwarinas.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan