9 September 2012

Terpengaruh 'aksi' pembangkang

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Rakyat seharusnya menghormati pemimpin negara walaupun mempunyai agenda dan fahaman politik yang berbeza demi menjamin keamanan dan keharmonian negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang ditunjukkan oleh peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu jelas menggambarkan tindakan yang tidak bertamadun dan dipengaruhi oleh pemimpin pembangkang.
Jelasnya, peserta himpunan itu mungkin terdidik dengan sikap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihatnya, Lim Kit Siang yang pernah memijak gambar ahli politiknya yang keluar dari parti itu.
"Tindakan peserta himpunan itu memijak gambar tersebut adalah pengaruh daripada perbuatan pembangkang.
"Oleh demikian, saya menyeru semua rakyat menghormati pemimpin negara, baik pemimpin kerajaan atau bukan walaupun mempunyai perbezaan agenda dan fahaman politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Orientasi Siswa (MOSIS) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Katanya, jika kepimpinan atasan dan pemuda pakatan pembangkang mengajar cara beradab yang betul kepada pengikut-pengikut (peserta) yang menyertai himpunan itu, mereka tidak akan berkelakuan demikian.
"Guan Eng sendiri diajar oleh Kit Siang untuk memijak gambar orang, jadi tidak hairan kebiadaban itu diikuti oleh para pengikut mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

Tiada ulasan: