
NAJIB Tun Razak disambut kakitangan
Tenaga Nasional Berhad (TNB) setibanya pada Majlis Perhimpunan Bersama
Warga TNB sempena Ulang Tahun LLN/TNB Ke-63 di Bangsar, Kuala Lumpur,
semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
*****
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Tenaga Nasional Berhad
(TNB) menjadi syarikat milik kerajaan (GLC) pertama melaksanakan had
umur persaraan wajib dari 56 tahun ke 60 tahun mulai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan
perkara itu berkata, ia selaras dengan Rang Undang-Undang Umur Persaraan
Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.
Selain itu, Najib turut mengumumkan keputusan pengurusan TNB
menaikkan kadar peratusan caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) bagi para pekerjanya yang berkhidmat dalam tempoh umur dari 56
tahun ke 60 tahun.
"Dalam tempoh tersebut, TNB sebagai majikan akan menaikkan kadar
sumbangannya kepada para pekerja TNB terlibat agar jumlah caruman KWSP
mereka sehingga waktu persaraan iaitu 60 tahun akan bertambah.
"Apabila rezeki kepada kita bertambah adalah diharapkan alam persaraan dapat kita kecapi dengan lebih selesa lagi," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB Bersama
Perdana Menteri sempena Ulang Tahun TNB Ke-63 di Ibu Pejabat TNB, di
sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor;
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui;
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong
Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Azman Mohd.
Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan berita gembira kepada warga
kerja TNB yang baru berkhidmat dengan syarikat GLC itu bahawa mereka
akan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau
Socso mulai 1 September lalu.
"Saya ingin ucapkan terima kasih atas kesemua inisiatif yang
diberikan ini. Diharap ia akan memberikan lebih banyak manfaat serta
mampu meningkatkan motivasi di kalangan para pekerja sekali gus
menyerlahkan TNB sebagai sebuah syarikat yang lebih cemerlang," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mencadangkan TNB menjalin kerjasama
dengan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dibina
rumah mampu milik khusus bagi warga kerja TNB.
"Saya ingin mencadangkan TNB menjalinkan kerjasama dengan PRIMA yang
kebetulan bekas Pengerusi TNB iaitu Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis
menjadi Pengerusinya.
"Tujuannya bagi membina rumah mampu milik dan ia boleh dijadikan
sebagai salah satu cara untuk kita menjaga kebajikan serta kesejahteraan
warga kerja TNB," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut mengharapkan TNB terus
menunjukkan prestasi cemerlang sebagai syarikat utiliti dan pembekal
tenaga terunggul di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan