25 Oktober 2012

9,630 kanak-kanak tadika khatam al-Quran

Sebahagian kanak-kanak tadika seluruh negeri Terengganu mengkhatam al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, semalam. 
*****
KUALA TERENGGANU 23 Okt. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru ibu bapa agar tidak menyerahkan tanggungjawab kepada guru semata-mata bagi mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dalam usaha menjadi generasi al-Quran.
Titah baginda, mereka mestilah bersama menanganinya dengan penuh tanggungjawab ke arah pembentukan peribadi dan kehidupan mulia dengan merangsang minda anak-anak melalui aktiviti yang telah dimulakan oleh para guru.
"Asas yang telah disemai oleh guru-guru perlu dipupuk dan disuburkan lagi oleh ibu bapa agar kanak-kanak ini terus mekar membudaya tradisi membaca al-Quran dalam kehidupan mereka," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan pada Majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2012 Kanak-kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda pada majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md. Kamarul Al-Amin Ismail.

Tiada ulasan: