SIAPA lebih berkuasa dalam Pas? Mursyidul Am,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang. Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila
melihat kemelut politik yang melibatkan parti itu ketika ini.
Keadaan itu memungkinkan ramai mengimbas kembali kedudukan Pas ketika
Allahyarham Yusof Rawa menjadi Mursyidul Am dan Allahyarham Datuk
Fadzil Noor sebagai Presiden.
Pada masa itu, Pas sama sekali tidak berhadapan dengan sebarang konflik yang boleh menimbulkan persoalan siapa lebih berkuasa.
Sememangnya sejarah Pas menunjukkan Yusof Rawa suatu ketika memegang
dua jawatan sekali gus iaitu sebagai Yang Dipertua Pas (Presiden) mulai
1983 dan kemudian Mursyidul Am pada 1987.
Bagaimanapun atas sebab-sebab kesihatan Yusof Rawa melepaskan jawatan
sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal menjadi Mursyidul
Am.
Sepanjang tempoh berkenaan, Yusof Rawa tidak pernah membuat
tindakan-tindakan yang dilihat membayangi tugas Allahyarham Fadzil
sebagai Presiden.
"Allahyarham Yusof Rawa benar-benar bertindak sebagai penasihat
melalui majlis syura, kalau pun ada masalah yang beliau perlu memberi
pandangan, perkara itu akan dilakukan secara tertutup dan bukannya
disebarkan melalui media seperti mana berlaku sekarang," kata seorang
pemimpin Pas.
Berikutan sikap itulah memungkinkan Yusof Rawa menjadi tokoh yang
cukup disegani dalam Pas. Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan beliau
telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus
memartabatkan kepimpinan ulama dalam Pas.
Allahyarham telah berjaya memantapkan paksi perjuangan Pas sebagai
parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiah melalui konsep
kepimpinan ulama.
Yusof Rawa juga berusaha meletakkan semula Pas sebagai sebuah parti
politik Islam yang berwibawa apabila menerajui Pas selepas tercetus
pelbagai konflik dalam parti berkenaan sebelum itu.
Beliau sentiasa memberi ruang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga
muda pelapis Pas untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan
Islam.
Di bawah kepimpinan beliau, berlakulah perubahan-perubahan besar
dalam perjuangan Pas dan bermulanya era kepimpinan ulama yang dicetuskan
oleh Dewan Pemuda ketika itu.
Majlis Syura Ulama diwujudkan dan berfungsi sebagai kuasa tertinggi
dalam memantau dan memastikan perjuangan Pas tidak tersasar daripada
garisan Islam.
Sepanjang menjadi Mursyidul Am mulai 1987 hingga 1993, Yusof Rawa sentiasa memberi nasihat dan buah fikiran.
Malahan pada era itu seperti mana kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk
Nakhaei Ahmad, Allahyarham Fadzil dapat berfungsi dengan penuh
berkesan.
''Allahyarham seorang yang sederhana dan tidak mudah menghukum
sesiapa. Beliau hanya memberi nasihat jika perkara itu dibawa kepada
Majlis Syura Ulama.
''Contohnya, jika ada sesuatu tindakan Pas bertentangan dengan Islam,
maka beliau melalui majlis tersebut akan memberi nasihat, tetapi jika
tidak, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden parti untuk membuat
keputusan,'' katanya ketika dihubungi.
Selain itu, walaupun Yusof Rawa memberi ruang luas kepada barisan
kepimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan
Islam dan merintis jalan ke aras penubuhan Majlis Perundingan Cina
(CCC), namun Allahyarham sentiasa mempertahankan prinsip perjuangan Pas.
Sikap Yusof Rawa itu bersesuaian dengan salah satu ucapannya yang
menegaskan, "Pas adalah jemaah yang meyakinkan bahawa Islam adalah
satu-satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula umat Islam,
membebaskan golongan mustadh'afin dan menyelamatkan dunia daripada
kehancuran dan kemusnahan.
"Jemaah yang lahir semata-mata atas kesedaran Islam yang tidak
dipengaruhi oleh timur dan barat, tidak juga dipengaruhi oleh
kepentingan ekonomi atau sosial tetapi jemaah yang meyakini kesejagatan
dan kesempurnaan Islam. Jemaah yang meyakini bahawa Islam membawa
pembangunan dan kemajuan umat manusia dalam semua bidang kehidupan."
Sebab itulah, Nakhaei menyifatkan Yusof Rawa adalah contoh terbaik
dalam Pas kerana Allahyarham sentiasa menjaga tindak-tanduknya supaya
tidak mengelirukan orang ramai tentang siapa lebih berkuasa dalam parti.
"Sekarang, kita lihat apa yang berlaku sebaliknya, Mursyidul Am
bercakap lebih daripada Presiden dan kadang kala dilihat lebih berkuasa
daripada Presiden," kata Nakhaei.
Bagaimanapun satu sumber dalam Pas memberitahu, ketika mula-mula
dilantik sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993 bagi menggantikan Yusof
Rawa yang meletakkan jawatan, Nik Abdul Aziz berjaya memainkan peranan
sebagai penasihat kepada parti dengan berkesan.
"Ketika itu Pas berada di bawah kepimpinan Fadzil Noor, Nik Abdul
Aziz tidak membuat kenyataan atau tindakan yang dilihat boleh membayangi
Presiden.
"Tetapi semuanya sudah berubah apabila Abdul Hadi menjadi Presiden,
Nik Abdul Aziz dilihat semakin lantang. Saya berpendapat, beliau berniat
baik dan melakukan demi untuk perjuangan Pas namun orang di luar
tertanya-tanya siapa lebih berkuasa, Nik Abdul Aziz atau Abdul Hadi,"
kata sumber tersebut.
Perlembagaan Pas (Fasal 7 Perkara 5(a),(i) menyatakan Mursyidul Am bertindak sebagai Ketua Majlis Ulama Syura.
Kuasanya adalah menetap dan mempengerusikan Majlis Ulama Syura dan melantik Setiausaha di kalangan ahli Majlis.
Di dalam Perkara 5(a),(iii) dalam Fasal yang sama menyebut, tugas
Musyidul Am ini ialah 'mengambil apa-apa juga langkah yang perlu bagi
mengawasi, memelihara dan dasar Pas dipatuhi dalam gerakan, kegiatan dan
pentadbiran Pas.'
Berdasarkan kepada fasal itu jelaslah mursyidul am hanya bertindak sebagai seorang penasihat bukan sebagai penggerak dasar.
Ini memandangkan Fasal 23, Perkara (1),(a) (b)dan (d) Perlembagaan
menyatakan, tugas menjalankan dasar adalah di bawah tanggungjawab
Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat manakala Perkara (1)(a) dalam
Fasal 23 itu menyatakan 'Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi
Menjalankan Pentadbiran, Gerakan dan Kegiatan Pas ....'
Perkara (1)(d) dalam Fasal 23 menyatakan 'Presiden perlu mengambil
apa-apa jua langkah yang perlu untuk menjamin perpaduan, kesungguhan dan
persefahaman ...'
Inilah peranan yang dijalankan oleh Yusof Rawa ketika beliau menjadi
Mursyidul Am dahulu apabila bertindak sebagai penasihat bukannya
melakukan tindakan sehingga menyebabkan timbul salah faham siapa lebih
berkuasa dalam Pas.
Dalam soal ini, adalah wajar jika kepimpinan Pas memperbetulkan
semula persepsi yang wujud dalam kalangan ahli-ahlinya supaya mereka
memahami siapa lebih berkuasa dalam Pas.
Era kepimpinan Allahyarham Yusof Rawa ketika menjadi Mursyidul Am
seharusnya dijadikan teladan oleh semua kepimpinan Pas supaya dapat
menghapuskan persepsi bahawa parti itu ibarat 'ada dua nakhoda' dalam
sebuah kapal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan