24 Oktober 2012

Bangsamoro terhutang budi pada Najib

Masyarakat Islam di Mindanao mengibarkan bendera hijau sebagai menyokong dan meraikan kerangka perjanjian damai yang dimeterai dengan kerajaan Filipina minggu lalu. 
*****
COTABATO 22 Okt. - Usaha kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu mendapatkan wilayah autonomi bagi Bangsamoro telah diketahui sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan lagi.
Seorang pemimpin berpengaruh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Basilan, Billamin Turabin Hasan berkata, namun masyarakat Bangsamoro tidak menyangka Najib tetap meneruskan pelan mendamaikan MILF dengan kerajaan Filipina apabila menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi Malaysia hari ini.
Menurutnya, disebabkan peranan Malaysia dan Najib itu, masyarakat di wilayah autonomi Bangsamoro hari ini begitu menghormati, kagum serta terhutang budi terhadap Malaysia dan rakyatnya.
"Secara peribadi dan mewakili lebih 5,000 masyarakat Pulau Tapiantana, kami seakan tidak percaya apabila Najib tidak pernah melupakan nasib masyarakat Islam di sini dengan berusaha sekian lama.
"Sebab itu juga, masyarakat Bangsamoro tidak melayan suara sumbang yang mempertikaikan peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik selama 40 tahun itu kerana kami tahu kebenarannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Billamin Turabin memberitahu, masyarakat Bangsamoro akan menganggap Najib sebagai wira jika rangka kerja damai itu dapat membawa kepada satu perjanjian muktamad terhadap wilayah autonomi Bangsamoro pada 2015.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bangsamoro juga masih menagih bantuan daripada Malaysia untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar dari segala aspek selepas ini bagi membangunkan wilayah autonomi tersebut.
"Selepas berperang selama lebih 40 tahun, kepulauan Basilan, Tapiantana dan Selainya kini berada dalam keadaan pemulihan, dan dalam hal ini kami sangat memerlukan tunjuk ajar dan bantuan daripada Malaysia.
"Kami memerlukan satu transformasi dalam tempoh terdekat bagi membentuk perjanjian muktamad untuk wilayah autonomi Bangsamoro agar menjadi bukti kepada kerajaan Filipina bahawa kami mampu mentakbir wilayah itu," ujarnya.

Tiada ulasan: