KUALA LUMPUR 4 Okt. - Wanita UMNO mendesak Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan segera tentang status
sebenar isu bas mewah yang masih menjadi tanda tanya rakyat negara ini.
Sambil memberi tempoh seminggu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk
Hamidah Osman berkata, perkara itu perlu dijelaskan berikutan perbezaan
kenyataan dikeluarkan Abdul Khalid sebelum ini.
Katanya, kenyataan Abdul Khalid semakin menimbulkan pelbagai
persoalan apabila sebuah portal berita mendedahkan butir-butir
terperinci mengenai bas berkenaan yang didaftarkan pada 3 September lalu
atas nama Menteri Besar itu.
Pada 30 Ogos, Abdul Khalid mengatakan secara jelas bas berkenaan
telah disewa untuk tempoh enam bulan dan dibiayai sepenuhnya oleh
beliau.
Kenyataan mengenainya mula berbeza dan mengelirukan rakyat apabila
pada 27 September pula, beliau menafikan hubung kait isu itu dengan
pembelian 50 unit lori sampah dari China dan bertegas bas mewah itu
dimiliki melalui konsep sewa beli selama enam bulan," katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini.
Hamidah mendakwa, kenyataan yang dibuat dan pendedahan butir-butir
oleh portal berita itu secara jelas membuktikan Abdul Khalid melakukan
pembohongan dan sengaja mengelirukan rakyat.
Perkara ini jelas menimbulkan prasangka apabila lori-lori dibeli
kerajaan negeri Selangor dikeluarkan oleh pengeluar yang sama dengan bas
mewah kempen jelajah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Persoalannya kini, adakah bas tersebut dibeli dan harganya diserap
ke dalam harga lori sampah atau dibeli dengan harga murah sebagai
balasan membeli lori dari pengeluar sama atau pun dimiliki secara
percuma tanda penghargaan membeli lori sampah ketinggalan zaman untuk
syarikat penjual menghabiskan stok," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan