IPOH 18 Okt. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini
mengesahkan menerima surat keluar parti daripada bekas Presiden
Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Amani William-Hunt Abdullah
yang lebih dikenali sebagai Bah Tony.
Menurut Koo Ham, Bah Tony sudah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan
parti itu sejak beberapa bulan lalu sebelum menghantar surat keluar
parti secara rasmi 11 hari lalu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih cuba berunding supaya Bah Tony menarik balik keputusannya itu.
Selepas beliau serah surat itu pun, saya ada berbincang dengannya.
Bah Tony juga ada berjumpa dan beritahu Penasihat DAP, Lim Kit Siang
bahawa beliau tiada apa-apa pergaduhan dengan saya atau parti. Beliau
keluar atas sebab-sebab peribadi.
Kita masih memujuk dan memohon supaya beliau mempertimbangkan semula
keputusannya keluar parti. Kita sedang menunggu keputusan beliau. Walau
apa pun keputusan beliau, kita akan terus bekerjasama," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bah Tony, 58, yang menempa sejarah sebagai lelaki Orang Asli pertama
dilantik sebagai peguam di negara ini dilaporkan telah bertindak keluar
daripada DAP baru-baru ini.
Walaupun punca utama Bah Tony meninggalkan parti masih menjadi tanda
tanya, terdapat laporan memetik sumber dalaman parti yang mendakwa ia
ke|ana beliau tidak sebulu dengan Koo Ham.
Keputusan itu dikatakan mengejutkan ahli dan penyokong DAP
memandangkan dia disebut-sebut sebagai calon terbaik DAP untuk menentang
calon MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon di kerusi Dewan Undangan Negeri
Chenderiang.
Perkembangan itu dijangka meningkatkan rasa tidak puas hati penyokong
DAP terhadap kepimpinan Koo Ham yang sebelum ini didakwa menyebabkan
perpecahan serius dalam parti itu.
Diminta mengulas perkara itu, Koo Ham bagaimanapun menafikan tindakan
tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan Bah Tony tidak akan terpilih
sebagai calon DAP di Chenderiang.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Bah Tony untuk mendapatkan penjelasan gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan