7 Oktober 2012

GLC pemangkin ekonomi - PM

Najib Tun Razak bersama Pengerusi UEM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali (dua dari kanan), Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM, Datuk Izzaddin Idris (kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar meletakkan tangan pada plak perasmian ketika merasmikan Mercu UEM di Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF 
*****
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Syarikat milik kerajaan (GLC) yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan strategik seperti tenaga elektrik, telekomunikasi, sistem penerbangan, pengangkutan awam, air serta kewangan merupakan pemangkin dan pelengkap pembangunan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini terbukti apabila menerusi GLC, negara kini mampu mewujudkan 359,187 pekerjaan yang menyumbang hasil sebanyak RM40 bilion melalui pembayaran cukai, melatih 12,757 siswazah dan membelanjakan RM315 juta untuk pembangunan modal insan.
Katanya, kesemua pencapaian itu terhasil melalui Program Transformasi GLC (GLCT) yang dilancarkan kerajaan pada Mei 2004.
"Ini selaras dengan dasar Program GLCT di mana transformasi untuk menjadi entiti berprestasi tinggi perlu dilakukan demi kesejahteraan Malaysia pada masa depan dan seterusnya mencapai Wawasan 2020," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan bangunan Mercu UEM Group Bhd. (UEM) yang merupakan ibu pejabat korporat syarikat konglomerat tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebagai sebuah anggota GLC, UEM memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar serta inisiatif kerajaan, di samping menjana keupayaan dan pengetahuan untuk sektor-sektor penting.
Menerusi UEM, katanya, negara berupaya memiliki lebuh raya bertaraf dunia dan kini konglomerat tersebut telah mengorak langkah ke luar negara dan berkongsi kemahiran dalam pembinaan lebuh raya dan perumahan seperti di India, Indonesia, Brunei serta Asia Barat.
Katanya, pengembangan operasi UEM dalam perniagaan teras seperti pembinaan lebuh raya, pembangunan perbandaran dan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta pengurusan aset dan fasiliti sehingga ke luar negara membuktikan konglomerat itu mempunyai daya saing di peringkat global.
Di samping aspek perniagaan, beliau turut mengingatkan lebih 16,000 warga kerja UEM bahawa mereka juga bertanggungjawab ke atas kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat.
"Bangunan Mercu UEM yang merupakan ibu pejabat korporat UEM adalah mercu tanda misi dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan untuk terus bekerjasama dengan kerajaan demi memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan perkhidmatan terbaik berpaksikan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: