
PADA 2 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah
Alam memutuskan tanah seluas 115 hektar di Serendah, Rawang yang
dirampas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada 2010
dipulangkan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Keputusan itu membolehkan organisasi bukan kerajaan berkenaan
meneruskan projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus
Serendah yang akan menjana pendapatan tetap untuk membiayai aktiviti
membantu golongan fakir, miskin dan anak yatim.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, Pengerusi YBK, DATUK ZAINAL ABIDIN SAKOM (gambar) berkongsi susah payah dihadapi pihaknya akibat perbuatan tidak masuk akal kerajaan PKR untuk merampas tanah milik yayasan berkenaan.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, Pengerusi YBK, DATUK ZAINAL ABIDIN SAKOM (gambar) berkongsi susah payah dihadapi pihaknya akibat perbuatan tidak masuk akal kerajaan PKR untuk merampas tanah milik yayasan berkenaan.
UTUSAN: Apa perasaan apabila tanah dirampas?
ZAINAL ABIDIN: Tindakan ini memang satu pukulan kepada YBK. Tanah ini
dimiliki yayasan sejak 1996. Premium tanah sudah dibayar dan geran pun
sudah dapat. Pihak kami mendapat kelulusan untuk membina UiTM pada 2009.
Kerajaan PKR pula merampasnya pada 2010.
Proses nak merampas itu bermula sejak 2008 apabila dia dapat
memerintah. Kita merasakan perbuatan merampas tanah ini adalah satu
penghinaan, suatu perkara yang tak patut dilakukan oleh akal waras. Ini
kerana semua proses bagi membina kampus cawangan ini telah selesai
termasuk menyediakan laporan teknikal, kelulusan agensi-agensi
berkaitan, lukisan-lukisan, pelan-pelan dan kita mengeluarkan
perbelanjaan yang begitu besar untuk membiayai kos penyediaan bahan
berkenaan.
Kami juga telah selesai menyediakan pelan perparitan, kajian
kesesuaian tanah, kajian kesan alam sekitar dan mendapatkan kebenaran
daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ini termasuklah permohonan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang
memang di bawah bidang kuasanya untuk mengeluarkan development order
(perintah pembangunan). Tiba-tiba kerajaan PKR putuskan perintah ini
tidak lagi dikeluarkan di peringkat daerah sebaliknya di peringkat
negeri. Ini bermakna kuasa pihak-pihak berkenaan telah dirampas dan
diambil alih bidang kuasanya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Selangor. Bagi saya ini menunjukkan banyak perkara luar biasa yang
berlaku dalam usaha merampas tanah ini.
Adakah rampasan ini berpunca daripada faktor politik?
Saya sendiri sehingga kini masih tidak faham kenapa tanah YBK
dirampas. Adakah alasannya kerana saya bekas wakil rakyat Barisan
Nasional (BN), Bendahari UMNO Bahagian Hulu Selangor dan penceramah UMNO
Malaysia? Tetapi kerajaan PKR kena ingat, YBK bukan yayasan bersifat
politik dan ia tidak bersikap memilih orang parti apa pun untuk berada
di dalamnya.
Sepatutnya sebuah kerajaan, bila dia dapat memerintah, semua rakyat
dalam negeri itu tak kira agama, bangsa dan fahaman politik, dia kena
bantu mereka. Kenalah mudahkan YBK dan anak syarikatnya, Permodalan YBK
Sdn. Bhd. mendapat tanah, projek dan dana.
Nampaknya layanan kepada Talam Corporation berbeza?
Ya memang ada perbezaan. Tan Sri Chan Ah Chai (Pengerusi Talam) dia
kaya, projek dia banyak. Tetapi hutang Talam RM390 juta boleh dibeli
oleh kerajaan PKR. Kita pula miskin, tetapi tanah kita pula dirampas.
Nilai tanah ini sekurang-kurangnya RM50 juta.
Kita sebenarnya, kalau kerajaan negeri nak mengambil balik tanah
untuk membina rumah murah dan sebagainya, boleh ambil, tak ada masalah
kerana apabila diambil balik tanah, perlu dibayar pampasan. Tetapi ini
tidak, kerajaan PKR merampasnya.
Kita hairan kenapa kerajaan negeri boleh beli hutang Talam. Siapakah
Chan Ah Chai? Setahu saya dia orang BN. Perniagaannya maju ketika
Selangor diperintah BN dan hidupnya dengan pemimpin-pemimpin BN. Apakah
bezanya dengan saya. Kalau Talam boleh dibela, kenapa hak YBK dinafikan,
mengapa? Apa salah YBK?
Mungkin ada sebab lain selain politik?
Bagi saya sebabnya adalah cemburu. Dia (Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim) pernah menyatakan akan bersetuju meluluskan perintah
pembangunan projek kampus berkenaan dengan syarat jawatan Pengerusi YBK
diserahkan kepada beliau.
Tiga orang wakil kerajaan negeri PKR juga perlu berada dalam Lembaga
Pengarah YBK. Jika ini dilaksanakan hanya dua orang pengasas YBK yang
masih tinggal dalam lembaga pengarah. Jadi bagi saya, orang tak sekolah
pun boleh faham bahawa taktik kotor arm-twisting yang kita telah
tolak, bukan hendak menyelamatkan YBK, sebaliknya merampas YBK dan
tanahnya sekali. Cuba bayangkan bagaimana YBK, sebuah organisasi bukan
kerajaan yang kerdil terpaksa berhadapan dengan segala kekuatan kewangan
dan jentera yang ada pada kerajaan PKR Selangor.
Kerajaan negeri difahamkan akan mengemukakan rayuan?
Mahkamah telah membuat keputusan bahawa pelupusan hak YBK oleh
kerajaan negeri dan langkahnya memulangkan semula cukai tanah yang
dibuat Yayasan Melaka (bagi pihak YBK) sebanyak RM5.7 juta tidak sah dan
terbatal. Ini keputusan mahkamah, jadi kalau dia nak merayu terhadap
perintah mahkamah itu bermaksud dia nak memohon bahawa tindakannya itu
sahlah. Terpulanglah.
Tetapi saya dengar peguam mereka sudah give up (mengaku kalah) dan
dia akan nasihatkan tidak payahlah merayu. Tetapi kalau Menteri Besar
sudah buat kenyataan nak merayu, nak buat kerja dia dan nak menambah
lagi bingung, tak apalah. Semua rakyat harus sedar akan hakikat, dia
pemerintah tetapi diperintah oleh mahkamah. Ini bermakna pemerintahan
kerajaan PKR itu tak pandai sehingga terpaksa diperintah oleh mahkamah
setelah dia membuat keputusan yang salah.
Kenapa projek UiTM Serendah perlu diteruskan?
Yayasan ini memerlukan dana yang besar bagi membantu golongan fakir,
miskin dan anak yatim di negeri ini. Kita kini turut menempatkan 200
anak yatim dan anak orang miskin di Asrama Kasih YBK Gesir di Hulu
Bernam dan di Serendah, Hulu Selangor dengan perbelanjaan RM1.4 juta
setahun. Sumber pendapatan kita kini hanyalah daripada penyewaan rumah
kedai milik kita di Serendah dan Rawang.
Dengan adanya konsesi untuk membina kampus UiTM dan apabila ia siap
dibina oleh anak syarikat kita yang akan menggunakan dana daripada
pinjaman bank, kita menjangkakan pihak universiti membayar kita sebanyak
RM50 juta setahun selama 20 tahun. Pendapatan bersih yang dijangka
diperoleh YBK adalah RM4 juta setahun. Selepas itulah barulah kita
serahkan kampus berkenaan sepenuhnya kepada UiTM.
Difahamkan Kerajaan Pusat menyokong projek ini diteruskan?
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar
membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini bagi
membolehkan peruntukan disediakan untuk kerja pembinaan dimulakan pada
2013. Saya bagi pihak YBK dan orang miskin luar bandar di Selangor
berasa amat dihargai dengan langkah Kerajaan Pusat ini yang benar-benar
memahami projek kampus UiTM ini perlu diteruskan kerana ia adalah tempat
kita mencanai modal insan khususnya pelajar dari luar bandar. Bagi
saya, masa depan YBK di Selangor ini amat terang jika kerajaan negeri
kembali diperintah BN.
Apakah nasihat kepada pengundi di Selangor?
Pertama sekali, saya mengajak semua pengundi terutama generasi muda
supaya memberikan sokongan padu kepada BN untuk kembali memerintah
Selangor.
Sebelum ini, kita telah memberi peluang kepada pembangkang untuk
mentadbir Selangor, negeri paling kaya di Malaysia. Nampaknya mereka
tidak membuat kerja-kerja seperti yang kita harapkan iaitu bagi
menyambung pembangunan yang telah dimulakan oleh BN.
Sebaliknya mereka membuat kerja-kerja yang tak masuk akal termasuk
merampas tanah sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi membela fakir dan
miskin. Tindakan ini menyebabkan YBK hilang punca pendapatan yang
sepatutnya boleh diguna bagi membiayai aktiviti selama 25 tahun.
Kerana masalah ditimbulkan kerajaan PKR, pembinaan kampus ini
tertangguh dan ia merugikan. Bagi saya kerajaan BN lebih banyak
membantu. Bantuan ini bukan dalam bentuk dana yang disuap ke mulut
sebaliknya bentuk projek bagi membolehkan kita menjana pendapatan
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan