PARTI Keadilan Rakyat (PKR) memang sentiasa hendak lebih. Baik pengagihan kerusi mahupun jawatan.
Pada April tahun lalu, parti itu bertanding di 49 kerusi pada
pilihan raya negeri Sarawak. Pendatang baru dan tidak dikenali pun di
Bumi Kenyalang, tetapi hajat di hati cukup besar meskipun bertindan
dengan satu lagi parti pembangkang di sana iaitu SNAP yang
mengisytiharkan bertanding di 27 kerusi. PKR sudah tidak peduli dengan
dua lagi sekutu, DAP dan Pas yang masing-masing cuma bertanding 15
kerusi dan Pas (5).
Hasil Pilihan Raya Negeri Sarawak itu semua maklum, DAP meraih lebih
kerusi. Pas tak laku manakala PKR cuma memperoleh beberapa kerusi.
Itu pun selepas pilihan raya berkenaan terjadi perbalahan dalam
kalangan pakatan pembangkang di Sarawak apabila DAP yang memonopoli
kerusi pembangkang, melabelkan PKR sebagai lapar kuasa kerana menolak
kabinet bayangan yang ditubuhkan (Mei 2011) pada mesyuarat majlis
gabungan itu.
Biro politik kebangsaan PKR pada 4 Mei tahun itu menimbulkan
bantahan terhadap senarai Kabinet bayangan atas dasar portfolio yang
diserahkan kepada mereka kurang penting.
Dalam Kabinet bayangan yang diumumkan sehari dua lalu, demikian juga
sikapnya. PKR hendak lebih juga sehinggakan Timbalan Pengerusi DAP, Tan
Seng Giaw terpaksa menyampaikan mesej keras di sebalik perwatakan
beliau yang lembut. Seng Giaw mengingatkan senarai Kabinet Bayangan PKR
itu bukan keputusan bersama pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.
Dalam sejarah negara, kalau ada pun Kabinet Bayangan yang tulen, ia
hanya disebut pada 1951 bertujuan untuk memupuk kerjasama kaum ke arah
berkerajaan sendiri. Ia dilaksanakan pada April 1951 hingga Jun 1955
menjelang kemerdekaan negara, untuk melatih orang Melayu dan kaum lain
dalam pentadbiran Tanah Melayu.
Kabinet Bayangan yang dikenali sebagai AHLI ini dicetuskan oleh Datuk
Onn Jaafar, disokong oleh pihak British dan raja-raja Melayu. Antara
ciri-cirinya termasuklah satu sistem Kabinet bayangan terdiri daripada
beberapa orang pegawai dan tokoh masyarakat.
Namun, ketika ini di Malaysia kita cuma ada Kabinet kerajaan yang
setiap Rabu atau Jumaat bermesyuarat untuk menentukan hala tuju semasa
negara. Di sebalik ini, pakatan pembangkang pula dilihat tidak mampu dan
tidak tahu untuk memberikan portfolio kepada tokoh yang sesuai dalam
kalangan mereka. Kalau disemak kebanyakan negara luar termasuklah negara
maju seperti Jepun, tidak wujud istilah Kabinet bayangan. Ada
cakap-cakap mengatakan sistem dua parti yang diamalkan oleh negara
seperti Australia dan Britain pernah wujud kabinet bayangan. Benarkah?
Tetapi yang kita sedia maklum, sebuah lagi negara yang juga
mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika Syarikat tidak sama sekali
mempunyai kabinet bayangan. Ditambah lagi, rakyat Amerika sendiri pun
tidak mendapat kepastian siapa ketua negara mereka untuk penggal-penggal
yang akan datang, apatah lagi menteri Kabinet - jauh sekali.
Di atas kertas, senarai Kabinet bayangan yang direncanakan PKR
beberapa hari lepas memang cukup baik. Tetapi sama ada berkesan atau
tidak, kita boleh nilaikannya bersama berdasarkan pengalaman dan rekod
pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri dikuasai mereka.
Di Pulau Pinang, terdapat dua timbalan ketua menteri. Timbalan Ketua
Menteri yang satu (Datuk Mansor Othman) pun tidak selesa dengan Ketua
Menterinya (dengan menggelarkannya sebagai angkuh dan sombong).
Penyandang sebelum ini (Mohamad Fairus Khairuddin) pun ada masalah juga.
Dan kenapa hanya pada saat-saat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU 13) baharu hendak diumumkan senarai Kabinet bayangan. Adakah kerana
setelah didesak oleh Perdana Menteri? Lagi pun dengan adanya tiga
pengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kebarangkalian wujudnya
pertelagahan pemikiran dan tindakan dalam membuat putusan tidak boleh
dielakkan.
Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Sistem ini berjalan dengan baik dan mantap dengan sokongan rakyat.
Kestabilan negara bergantung pada permuafakatan antara rakyat dengan
kerajaan, bak kata pepatah bagai aur dengan tebing.
Gandingan tersebut telah menjamin kejayaan sistem demokrasi
berparlimen di negara ini. Hakikatnya bukan mudah bagi manusia yang
berbeza latar belakang, agama dan budaya untuk bekerjasama seperti yang
berlaku di negara ini.
Sekalipun kita mempunyai banyak perbezaan, namun kita dapat menjalani
kehidupan dengan mengharungi kesukaran, bekerjasama, bersedia untuk
berkorban serta berkongsi nikmat kemakmuran dan kejayaan.
Tiada istilah Kabinet bayangan. Yang ada cuma Kabinet yang dibentuk
oleh parti yang mendapat kepercayaan rakyat apabila memenangi PRU.
Kabinet bayangan pakatan pembangkang hanya bayang sahaja. Tambahan
lagi Kabinet bayangan itu lebih mirip Kabinet anak-beranak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan