
Najib Tun Razak bersama Duta
Perancis, Martine Dorance (kiri) melihat model syarikat Alstom semasa
merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko
Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Malaysia mampu menjadi
ikutan serta model terbaik kepada dunia jika berjaya menyeimbangkan
antara matlamat mengejar pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk itu negara
perlu bergerak melaksanakan perubahan dan bertindak mendepani masalah
berkaitan perubahan iklim membabitkan penyumbang utama kepada
permasalahan itu seperti sektor tenaga, pengangkutan serta industri.
Namun menurut beliau, kerajaan juga perlu memainkan peranan lebih
efisien dengan menetapkan arah tuju yang jelas selain menggalakkan
pertumbuhan industri berteraskan teknologi hijau.
''Perdebatan berhubung iklim menjadi fokus utama Asia. Kita telah
berdepan dengan pelbagai kesan buruk khususnya bencana alam. Perubahan
iklim membuatkan ramai orang di rantau Asia dan Pasifik berdepan dengan
risiko. Tetapi kita juga menjadi antara penyumbang kepada punca
tersebut. Malaysia juga tak terkecuali mengalami perubahan iklim itu.
''Lapan tahun mendatang ini adalah saat paling kritikal buat negara.
Di sebalik sasaran pembangunan ekonomi dan pengeluaran karbon, kita
perlu mencari kaedah bagaimana jurang pembangunan dan iklim dapat
diseimbangkan. Jika itu mampu dilakukan, Malaysia mampu menjadi model
serta menyumbang kepada sesuatu yang signifikan kepada krisis global
itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan
Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Ke-3 bertemakan 'Teknologi
Hijau Untuk Pembangunan' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari
ini.
Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta timbalannya, Datuk Noriah Kasnon.
Najib berkata, untuk itu Malaysia kini menetapkan sasaran menjana 5.5
peratus daripada kapasiti tenaga keseluruhannya daripada sumber-sumber
diperbaharui menjelang 2015 dan 11 peratus pada 2020.
''Dianggarkan tenaga diperbaharui akan menjana aktiviti ekonomi
bernilai RM70 bilion pada 2020 dan menampung 50,000 peluang pekerjaan.
Hal yang demikian mampu mengurangkan pengeluaran 42.2 juta tan karbon
iaitu pengurangan kira-kira 40 peratus. Bersama-sama dengan usaha
menjana tenaga bersih itu, Malaysia perlu berusaha lebih untuk
memuliharanya.
''Ini kerana kecekapan tenaga boleh membantu Malaysia menjimatkan
RM14 bilion dalam pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020. Oleh
sebab itu kita sedang membangunkan Syarikat Perkhidmatan Tenaga untuk
membantu pengguna mendapatkan penjimatan, menggalakkan peralatan tenaga
yang efisien di rumah dan perniagaan serta menyokong memacu kecekapan
dengan insentif cukai," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan