
Dr. Mahathir Mohamad bersalam dengan
peserta pada Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya
Kerja dan Pemikiran Pegawai Tadbir di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man,
Kuala Terengganu, semalam.
*****
KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Bekas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakannya memecat Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada 1998 bukan penyebab
bermulanya perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Sebaliknya, jelas beliau, orang Melayu di negara ini sudah lama
berpecah termasuk ketika penubuhan Malayan Union yang mana pelbagai
konflik tercetus termasuk wujud golongan ulama daripada UMNO yang
mengambil keputusan menubuhkan parti Pas.
Selain itu, jelas Dr. Mahathir, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang
menubuhkan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 turut membuktikan
telah berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu ketika itu.
"Jadi, mahu kata kerana saya pecat Anwar (penyebab mula berlaku
perpecahan orang Melayu) tidak benarlah. Kita tidak boleh menerima orang
seperti ini (Anwar) menjadi Perdana Menteri. Sebab beliau ada karakter
yang tidak boleh menjadi seorang Perdana Menteri.
"Kita tidak boleh terima manusia yang moralnya terlalu rendah untuk
menjadi seorang pemimpin, kita malu dengan pemimpin seperti ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam sesi
dialog selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Pemantapan
Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja dan Pemikiran Pegawai Tadbir
di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Seminar itu diadakan sempena program Peningkatan Kerjaya dan Sukan
Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada masa sama, Dr. Mahathir dengan sinis turut menyifatkan Anwar
seorang yang cekap berpidato dan mampu memesongkan pemikiran rakyat
terutama mereka yang taksub dengannya.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr. Mahathir mengingatkan para pegawai
dan pentadbir meningkatkan tahap penguasaan ilmu untuk menyesuaikan diri
dengan perubahan yang telah, sedang dan akan berlaku.
Katanya, golongan itu juga perlu menjalinkan hubungan lebih akrab
dengan masyarakat selain melengkapkan diri dengan ilmu ekonomi dan
kewangan dalam memastikan dapat menjalankan tanggungjawab kepada
masyarakat dengan lebih cekap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan