PELABURAN langsung domestik (DDI) mula mendapat
tempat dalam struktur ekonomi Malaysia. Tidak sebagaimana 20 tahun lalu,
negara kita terlalu bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI)
berasaskan kos buruh yang rendah yang akhirnya mengundang
ketidakseimbangan ekonomi apabila krisis ekonomi melanda dunia.
Sebagai contoh, krisis ekonomi Asia pada 1997/98, krisis subprima
Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon Eropah menjadikan DDI begitu
penting melestarikan ekonomi negara. Negara tidak boleh terlalu
bergantung dengan FDI kerana jika krisis ekonomi dunia berlaku, ekonomi
negara kita juga akan terjejas teruk.
Maka antara strategi terbaik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara
pada masa kini dan mendatang adalah meningkatkan keupayaan sektor
pelaburan swasta tempatan ke tahap global.
Bajet 2013 banyak menyentuh mengenai perkara ini. Umpamanya, kerajaan
menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion bagi
memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi untuk
syarikat tempatan.
Selain itu, Bajet 2013 memberi tumpuan khusus untuk perusahaan kecil
dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Pelan Induk PKS (2012-2020) yang
berasaskan inovasi dan produktiviti serta berimpak tinggi.
Fokus PKS juga terarah dalam industri halal dengan Dana Industri
Halal sebanyak RM200 juta disediakan bagi membiayai modal kerja PKS yang
terlibat secara langsung dengan industri halal.
Prospek industri halal amat cerah dengan pertambahan permintaan
terhadap produk-produk halal di peringkat global. Lebih-lebih lagi
negara kita mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengeluarkan
produk-produk halal berbanding negara-negara lain.
Satu perkara yang amat menarik dalam Bajet 2013 adalah golongan
penjaja dan peniaga kecil tidak dipinggirkan. Tidak mustahil mereka ini
juga bakal menjadi usahawan hebat suatu hari nanti, maka nasib mereka
juga sewajarnya dibela. Skim perlindungan insurans berkelompok yang
berjumlah RM16 juta setahun dibiayai oleh kerajaan bertujuan melindungi
penjaja dan peniaga kecil jika sekiranya berlaku kemudaratan diri,
hilang upaya serta kematian.
Skim ini secara tidak langsung boleh merangsang kekuatan kepada para
penjaja dan peniaga kecil untuk melipat kali ganda usaha mereka dalam
perniagaan. Ada di antara mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang, maka, dengan kewujudan skim begini, mengurangkan kerisauan
mereka jika sekiranya berlaku malapetaka ke atas mereka.
Di samping itu, bagi membantu mereka dalam selok-belok perniagaan,
program Business in Transformation dilancarkan bagi memberi bimbingan
mengenai konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kios dan
perniagaan atas talian. Bimbingan seperti ini memberi satu pendedahan
baru kepada mereka mengenai kepentingan teknologi maklumat terbaru dan
strategi peniagaan moden.
Ini kerana kebanyakan penjaja dan peniaga kecil masih mengekalkan
perniagaan cara tradisional yang sukar untuk mengaut keuntungan yang
lebih lumayan. Umpama mereka mungkin tidak menyedari mengenai pemasaran
atas talian yang skop pasaran lebih luas, murah, cepat dan mudah.
Dengan cara ini, produk-produk mereka berkemungkinan besar boleh
mendapat tempat bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga boleh
memasuki pasaran global.
Dari sudut kewangan pula, kerajaan telah menyediakan dana melalui
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang boleh dipohon oleh
usahawan kecil. Dana ini banyak membantu usahawan kecil memulakan dan
memajukan peniagaan mereka.
Walaubagaimanapun, satu aspek yang perlu diambil kira oleh mereka
adalah kemahiran mengurus kewangan. Ramai di antara usahawan kecil dan
sederhana bahkan usahawan besar sekalipun telah gagal mengurus kewangan
mereka sebaik mungkin.
Sebagai contoh, masih ramai usahawan kecil yang tidak mengetahui
cara-cara merekodkan kewangan mereka secara sistematik. Rekod-rekod
kewangan perniagaan mereka tidak teratur sehingga memberi implikasi
besar terhadap perniagaan seharian mereka.
Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana mengurus kewangan
perniagaan tidak sebagaimana mengurus kewangan peribadi dan jika
tersilap langkah boleh memudaratkan perniagaan tersebut dalam tempoh
jangka masa panjang.
Satu lagi komponen yang begitu penting dalam perniagaan selain
pemasaran dan kewangan adalah kualiti produk dan perkhidmatan. Maka,
para peniaga kecil dan sederhana yang inginkan kejayaan sebagai usahawan
hebat perlu fokus kepada kualiti produk dan perkhidmatan mereka.
Sering kali mereka ini tersilap caturan dalam menjaga kualiti produk
dan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, kegagalan peniaga makanan untuk
mengekalkan kelazatan makanan yang dijual boleh menyebabkan pelanggan
tetap mereka tidak lagi mengunjungi gerai mahupun restoren mereka.
Begitu juga, sekiranya makanan tersebut gagal disediakan dengan
segera boleh menyebabkan pelanggan 'lari' ke gerai mahupun restoran
lain. Kegagalan ini berkemungkinan besar meniti dari mulut ke mulut
pelanggan lain dan jika tiada tindakan pembetulan dilakukan, lebih ramai
lagi pelanggan tidak mengunjungi gerai mahupun restoren tersebut.
Ini baru melibatkan pasaran tempatan belum lagi melibatkan pasaran
luar negara yang lebih rumit prosedurnya. Sebab itulah kita lihat banyak
produk Malaysia sukar menembusi pasaran global seperti Jepun hanya
kerana tidak menepati piawaian dan kualiti yang ditetapkan oleh pihak
berkenaan.
Oleh itu, bagi meramaikan usahawan tempatan yang hebat, tiga perkara
ini iaitu pemasaran, kewangan dan kualiti produk perlu diberi perhatian
oleh semua pihak yang terlibat dalam perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan