
Najib Tun Razak (duduk, tiga dari
kiri) bersama perwakilan Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Pahang pada
majlis makan malam gabungan itu di Bukit Gambang Resort, Kuantan,
Pahang, malam tadi. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
*****
KUANTAN 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak
mengajak masyarakat Cina menilai seseorang pemimpin itu berasaskan rekod
yang telah dilakukannya sewaktu berada di tampuk kuasa.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Perdana Menteri berkata, dengan
cara itu gambaran sebenar akan diperoleh tentang sikap sebenar seseorang
pemimpin kerana untuk menunaikan janji bukanlah sesuatu yang mudah.
"Apabila dia tidak ada kuasa, kita tidak boleh menilai kerana dia
boleh janji apa sahaja tetapi apa dia buat sewaktu dia berkuasa. Ini
patut kita tanya kepada diri kita. Jangan dibuai kata-kata manis sewaktu
orang tidak ada kuasa," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam
Gabungan Persatuan-Persatuan Cina (GPPC) negeri di Bukit Gambang Resort
di sini malam ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan
Presiden GPPC negeri, Tan Sri Pheng Yin Huah yang juga Presiden Hua
Zhong dan kira-kira 3,000 ahli persatuan di bawah gabungan itu.
Sementara itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN)
akan melakukan yang terbaik dan secara adil untuk semua kaum.
"Semangat 1Malaysia merupakan panduan kita. Nama saya Ah Jib Gor dan saya akan buat yang terbaik untuk semua kaum.
"Bagi peluang kepada kita. Mahu janji mudah, tetapi mahu buat bukan mudah. Tetapi kita BN, terbukti janji ditepati," ujarnya.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan membawa Malaysia sebagai
negara maju berdasarkan cara Malaysia iaitu menerusi permuafakatan semua
kaum.
Katanya, kaedah itu telah terbukti berjaya membawa negara mengharungi
segala cabaran dari menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada keluar
daripada krisis ekonomi Asia pada 1997.
"Pendek kata The Malaysia Way yang berasas pemuafakatan antara
kaum merupakan formula yang membawa kita pada hari ini dan saya percaya
formula ini juga akan membawa kita menjadi negara maju pada 2020,"
jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan