KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pas tidak akan mempertahankan bekas Timbalan
Presidennya, Nasharudin Mat Isa dalam pertelingkahan beliau dengan
Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung isu pelaksanaan hukum hudud.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata,
kenyataan Nasharudin bahawa Karpal anti-Islam dikeluarkan atas kapasiti
peribadinya dan tidak ada kaitan dengan parti.
"Mengapa kita perlu pertahankan Nasha kerana apabila mengeluarkan kenyataan itu beliau tidak ada tanya pendapat kita ahli Pas.
"Itu antara mereka berdualah, tentang Nasha yang keluarkan kenyataan
Karpal anti-Islam dan Karpal menyanggah, jadi itu terpulang kepada
mereka. Tidak ada kena mengena dengan parti," katanya ketika ditemui di
lobi Parlimen hari ini.
Perbalahan berterusan antara Pas dan DAP mengenai pelaksanaan hudud
kembali timbul baru-baru ini selepas Nasharudin mengeluarkan kenyataan
bahawa Karpal merupakan pemimpin anti Islam ekoran penentangannya
terhadap pelaksanaan hukum itu.
Semalam, Karpal menegaskan, beliau akan tetap mengambil tindakan
mahkamah terhadap Nasharudin kerana menyifatkan kenyataan bekas Timbalan
Presiden Pas itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan
kejam.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, sekiranya Pas
campur tangan dalam isu tersebut pastinya akan memberi persepsi buruk
kepada parti kerana bersikap tidak adil.
"Bukan semua tindakan anggota dalam Pas kita akan pertahankan, itu
bukan sikap yang adil. Dari awal lagi parti tidak terlibat, lainlah
kalau Nasha bertindak atas nama parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan