KOTA BHARU 10 Okt. - Sikap tamak pemimpin Islam
terhadap kuasa berbanding kepentingan agama akan hanya menyebabkan
kehancuran kepada umat Islam.
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, sikap tamat
sedemikian juga boleh membawa kehancuran kepada negara Islam, selain
mencalar kesucian agama Islam itu sendiri.
Beliau berkata, pemimpin Islam sepatutnya lebih mengutamakan usaha
mengukuhkan kedudukan Islam dan umat Islam, mengambil kira pelbagai
cabaran yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.
"Sikap tamak kuasa itu juga boleh membawa kepada hilangnya kemuliaan
agama dan umat Islam itu sendiri apabila mereka saling bertelagah sesama
sendiri semata-mata hendak mengejar kuasa.
"Lebih buruk lagi, akibat tamakkan kuasa, mereka sanggup pula
bersekongkol dengan golongan kafir atau bukan Islam, sedangkan sesama
Islam sering bertelagah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat
Isa yang menyelar pemimpin-pemimpin Islam yang sanggup mengetepikan
kepentingan agama demi kuasa.
Ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiyah Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' dalam
Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) semalam,
Nasharudin berkata, golongan tersebut lebih mementingkan maslahah dan
strategi daripada melaksanakan prinsip asas dalam Islam semata-mata
disebabkan percaturan politik.
Mengulas lanjut, Abdullah yang bersetuju dengan pandangan Nasharudin
itu berkata, pemimpin Islam pada hakikatnya lebih bertanggungjawab
menjaga kemaslahatan umat Islam, berbanding kuasa.
Malah kata beliau, antara tanggungjawab pemimpin Islam ialah
mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam, bukannya menjalin kerjasama
dengan golongan bukan Islam, lebih-lebih lagi kumpulan yang dilihat
mampu menguasai mereka.
"Yang penting, tegakkan hukum Islam, kehendak agama wajib dilaksanakan termasuk jangan mewujudkan permusuhan sesama Islam.
"Sekiranya pemimpin Islam lebih gilakan dan mengejar kuasa, tidak
melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana dikehendaki oleh agama,
maka ia merupakan bahaya besar dan kehancuran besar kepada umat Islam,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan