KENYATAAN Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang parti itu
tetap akan bekerjasama dengan DAP sebagai rakan kongsi bagi menjamin
kemenangan Pas dalam pilihan raya umum akan datang menerima banyak
reaksi.
Penegasan Nik Aziz dibuat kerana cuba memberi respon kepada pandangan
supaya Pas keluar daripada pakatan pembangkang, dan kerana DAP tidak
bersetuju dengan negara Islam dan hudud. Kritik terhadap Nik Aziz yang
sedang dipergunakan oleh golongan parasit Anwar ke arah faham
liberalisme dan pluralis sedikit pun tidak mengindahkan beliau.
Ia menyebabkan Datuk Dr. Hasan Ali menyuarakan supaya Nik Aziz
berundur dan digantikan oleh Timbalannya Dr. Haron Din sebagai Mursyidul
Am Pas. Pengalaman Dr. Hasan dalam Pas dan pengalaman pahitnya di bawah
kerajaan pakatan Selangor dulunya, memberikan asas bahawa Pas bukan
parti dominan dalam pakatan yang bakal menentukan hala tuju negara
sekiranya pakatan memerintah.
Isu negara Islam dan hudud sering dipertikaikan oleh DAP. Anwar
Ibrahim sebagai bekas Presiden ABIM merangkap ketua pakatan pembangkang
juga mengambil sikap yang longgar terhadap isu ini. Apa lagi harapan Pas
untuk menjadikan perjuangan parti ke arah negara Islam bakal menjadi
kenyataan, sedangkan Buku Jingga yang menjadi sumber utama
pakatan tidak menyatakan apa-apa mengenai negara Islam hatta hukuman
hudud. Bagaimana nantinya corak manifesto pakatan menjelang pilihan raya
nanti.
Kalau begitu penulis membuat analisis bahawa terbentuknnya pakatan
bukan kerana kesepakatan dari segi ideologi dan dasar-dasar utama yang
Islami atau paling tidak menerima asas etika yang tidak bercanggah
dengan nilai-nilai Islam.
Lihat apa yang berlaku di Kedah, baru hendak memperkenalkan garis
panduan papan iklan oleh Majlis Perbandaran Alor Setar, cadangan itu
sudah dibantah oleh Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik. Sikap DAP itu
dibantah pula Setiausaha Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Zainol Asri
Ramli.
Perkara yang dilihat kecil ini dibantah oleh rakan sepakatan, apakah
perkara lebih besar seperti negara Islam dan hudud boleh mereka terima.
Mengapa Nik Aziz tidak faham tentang kenyataan yang sedang terjadi.
Pakatan itu tidak lebih suatu perkongsian kuasa untuk memecahbelahkan
umat Melayu.
DAP tidak bimbang dominasi ekonomi yang sudah mereka kuasai, dominasi
pendidikan begitu juga, yang tinggal dominasi politik. DAP mempunyai
senjata ampuh dengan menggunakan Pas, maka dominasi politik akan
terjadi.
Lihat bagaimana kerajaan yang ada melaksanakan projek Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bank Islam, takaful, sukuk, wakaf,
bisnes halal, membangun undang-undang keluarga Islam tidak dibantah oleh
rakan Barisan Nasional kerana tujuannya baik untuk negara. UIAM sudah
mula jadi tarikan pelajar-pelajar bukan Islam belajar. Bank Rakyat yang
beroperasi atas landasan pematuhan syariah disertai oleh banyak pelabur
dan peminjam bukan Islam atas asas kestabilan dan keuntungan yang
diperolehi.
Apakah Nik Aziz dan Pas tidak faham ini semua. Pas memperjuangkan
negara Islam dan dibantah oleh DAP, sedangkan Barisan Nasional sudah
sekian lama melaksanakan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam
institusi dan organisasi tanpa dibantah oleh MCA, MIC dan Gerakan.
Pada hemat penulis, Pas bukan sangat hendak memperjuangkan Islam
tetapi memperjuangkan kerusi dan kuasa. Soalannya apa makna dapat kerusi
dan kuasa tetapi tidak boleh melaksanakan Islam dan memecahbelahkan
umat Melayu.
Nik Aziz tentu faham ini. Tetapi kerana dendam kesumat yang melampau,
Nik Aziz lebih rela melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik
dengan DAP yang menentang Islam dan UMNO serta Barisan yang sudah sekian
lama melakukan penerapan nilai-nilai Islam.
Hal inilah yang dibangkitkan oleh Shahnon Ahmad ahli seumur hidup Pas
dalam temu ramahnya bahawa "Pas sudah tersasar daripada perjuangan
asal" dengan menghasilkan sebuah novel baru bertajuk Mahabbah untuk menjadi renungan semua umat Melayu mengenai perlunya mereka bersatu.
Hal yang sama dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Gaal, Dr.
Nik Mazian Mohamad bahawa pemimpin Pas perlu memberi laluan kepada
barisan muda meneruskan kepimpinan ulama yang menjadi asas kepimpinan
parti itu. Katanya lagi. "Yang kita bimbang Tok Guru sudah tua, ada
sakit pula".
Lujnah Penyelidikan Pas harus membantu Nik Aziz dan para ulama Pas
bahawa DAP bukan sekadar suatu gerakan politik yang ingin
memecah-belahkan kuasa umat Melayu melalui Pas tetapi mempunyai kaitan
dengan gerakan Evangelical Kristian.
Helen Ang bekas wartawan Malaysiakini dalam AIDC, 13 Oktober
mendedahkan tentang City Harvest Church di Kuala Lumpur yang ada kaitan
dengan City Harvest Church di Singapura yang sedang disiasat kerana
skandal.
Lujnah Penyelidikan Pas harus memberitahu hal ini kepada Nik Aziz
seperti yang disebut oleh bekas Presiden ABIM dan Presiden Institut
Penyelidikan Strategik Islam (ISSI), Dr. Yusri Mohamad; "DAP bijak
berpolitik dengan membawa kecenderungan agenda Kristian dalam gerak
kerja politik tanpa disedari oleh majoriti masyarakat Islam".
Benarlah seperti kata Dr. Hasan yang amat prihatin mengenai nasib
umat Islam di Selangor, dan peristiwa pemurtadan bulan Ogos 2011 di
Damansara, kenyataan Ustaz Nasharudin mengenai tekad DAP di Sarawak dan
kaitannya dengan proses Kristianisasi, serta tekad kelompok paderi
Kristian di Pulau Pinang tempoh hari.
Pandangan Dr. Hasan mengenai pengunduran Nik Aziz tidaklah dibuat
secara emosional. Dr. Hasan tahu betapa sensitifnya menyentuh imej Tok
Guru. Tetapi Pas tidak harus naif untuk mendengar pandangan pihak lain
bagi memahami gerak kerja politik DAP sekadar ingin kuasa dan kerusi,
sedangkan DAP terus menghina Islam dan mempunyai agenda lain untuk
Malaysia.
Kalau benarlah DAP terkait dengan agenda Kristianisasi yang sifatnya
agama, mengapa DAP menentang Islam - juga sebagai suatu agama. Hal
inilah yang perlu difahami oleh Nik Aziz dan Pas.
Bukan semua pandangan khalayak membenci Pas dan dengki kepada Pas.
Selagi sikap dendam-kesumat menjadi dukungan Nik Aziz, sikap taksub dan
jumud menjadi pegangan sebahagian orang Pas, parti ini tidak akan ke
mana-mana.
Akhirnya DAP akan mendominasi dengan agendanya tersendiri dan pada
waktu itu sudah terlalu lewat untuk Pas berpatah balik dan nasi sudah
menjadi bubur. Kalau sekadar mata beliung semata-mata untuk menumbangkan
sebatang pokok, hal itu tidak akan berlaku. Tetapi mata beliung yang
disendalkan dengan kayu juga boleh menyebabkan pokok itu tumbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan