LANGKAH kerajaan Pusat membantu menyelesaikan masalah bekalan air
bersih di Kelantan melalui projek Penapis Air 1Malaysia, ternyata
meresahkan banyak pihak, termasuk pemimpin pembangkang.
Bantuan yang diyakini memberi manfaat kepada rakyat itu, menyebabkan
pihak berkenaan tidak senang duduk dan tidak tidur lena sehingga di ulit
mimpi buruk. Kebimbangan ini dilihat dengan timbulnya pelbagai cemuhan
dan tohmahan terutama dalam blog dan portal ke atas projek itu,
antaranya tuduhan projek penapis air tersebut sengaja dipasang
berhampiran rumah pemimpin UMNO untuk kepentingan politik parti
berkenaan.
Tidak cukup dengan dakwaan tersebut, timbul pula dakwaan lebih
serius, kononnya air yang disalurkan melalui projek tersebut tidak
selamat digunakan kerana didakwa mengandungi bahan tercemar seperti
E-Coli.
Tuduhan demi tuduhan yang dibuat jelas menunjukkan betapa bimbang dan
resahnya pihak berkenaan terhadap usaha murni kerajaan Pusat itu yang
hasilnya telah mula dinikmati oleh penduduk di beberapa daerah terlibat.
Masalah bekalan air bersih di Kelantan bukan perkara baru dan ia
masih gagal ditangani oleh kerajaan Pas meskipun telah 22 tahun
menerajui pentadbiran negeri dan ratusan juta peruntukan disalurkan oleh
Kerajaan Pusat.
Kelemahan itu diakui sendiri oleh seorang exco Pas Kelantan sebelum
ini apabila menyatakan bekalan air bersih ke seluruh negeri hanya dapat
diselesaikan menjelang tahun 2027.
Kenyataan tersebut menggambarkan betapa masalah bekalan air bersih
tidak menjadi keutamaan kepada kerajaan Pas Kelantan. Ia dibuktikan
dengan keputusan kerajaan Pas membina lebuh raya berharga kira-kira
RM1.8 bilion yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, berbanding
menyelesaikan isu air, nadi kepada kehidupan rakyat.
Sikap lepas tangan kerajaan Pas negeri itu memaksa rakyat terutama
di kawasan luar bandar membina sendiri telaga, perigi dan pelbagai
kaedah lain untuk mendapatkan bekalan air bersih. Bagi yang bernasib
baik, dapatlah mereka menikmati bekalan air bersih, sementara yang tidak
berkemampuan, terutama mereka yang tinggal di kawasan ceruk kampung,
terpaksa meneguk air keruh dan berbau bagi kegunaan seharian.
Maka tidak hairanlah apabila ada laporan penduduk yang mendakwa, baju
putih sekolah anak mereka bertukar warna apabila menggunakan sumber air
dari telaga yang digunakan.
Mereka tidak ada pilihan kerana kerajaan Pas Kelantan melalui
syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) gagal menyalurkan bekalan air
bersih dan terawat bagi keperluan seharian mereka.
Mengambil kira penderitaan rakyat Kelantan itulah, maka Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima permohonan daripada
beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai oleh Majlis Tindakan
Rakyat Kelantan (MTRK), bersetuju menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi
menyediakan penapis air untuk membolehkan orang ramai terutama di
kawasan bermasalah, mendapat bekalan air lebih bersih.
Antara kawasan terlibat adalah di Tumpat dan Pasir Mas yang
dilaporkan telah memperoleh bantuan tersebut secara
berperingkat-peringkat.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut
meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi membekalkan penapis air kepada
kira-kira 500 buah sekolah di Kelantan yang dikatakan turut berdepan
masalah air kotor, bagi memastikan kesihatan pelajar di sekolah terbabit
tidak terjejas.
Maka itu, tidak sukar untuk membaca motif atau niat di sebalik
cemuhan yang dilemparkan ke atas projek berkenaan. Ia tidak lebih
daripada bermotifkan politik supaya gelombang sokongan rakyat Kelantan
yang kini dilihat semakin bersama Barisan Nasional dan UMNO tidak
berterusan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Golongan berkenaan tentunya mahu rakyat Kelantan kekal bersama Pas
yang telah diberi mandat 22 tahun, namun masih terkial-kial untuk
membawa perubahan hatta memacu pertumbuhan ekonomi negeri Cik Siti Wan
Kembang ini.
Masalah bekalan air di Kelantan bukan setakat soal kualiti, tetapi
juga tekanan rendah sehingga merimaskan kebanyakan penduduk, terutama
suri rumah yang kerap terjejas rutin harian mereka. Ini belum diambil
kira gangguan bekalan air yang kebelakangan ini kerap dilaporkan berlaku
di banyak daerah di seluruh negeri.
Mungkin ramai tidak tahu atau lupa laporan sebuah portal mengenai
nasib yang menimpa jenazah seorang warga emas di Kampung Bendang Pak
Yong Tas Kok,Tumpat apabila lewat dikebumikan kira-kira empat jam
berikutan krisis bekalan air.
Penegasan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin
Ahmad Mahir bahawa air yang disalurkan melalui Projek Penapis Air
1Malaysia adalah bersih dan selamat digunakan, menepis segala tuduhan
buruk yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap projek
tersebut.
Menurut Dr. Ahmad Razin, berdasarkan ujian klinikal yang dilakukan
oleh pihaknya di semua penapis air itu baru-baru ini mendapati, air yang
dibekalkan dengan penapis air berkenaan bersih serta tidak dicemari
wabak penyakit Escherichia Coli atau E-Coli.
Malah kata beliau, berdasarkan ujian tersebut mendapati, air terbabit
lebih bersih daripada air perigi dan parit yang digunakan oleh penduduk
di kawasan terbabit sebelum projek tersebut dilaksanakan.
Sampel yang diambil melibatkan sampel air mentah (air telaga) dan
sampel air selepas proses penapisan, hasil analisis yang dijalankan
mengesahkan tiada E.Coli dikesan di dalam sampel air selepas proses
penapisan.
Kalau ada orang hendak kritik air yang ditapis ini, dia boleh lihat
air yang ditapis dan sebelum ditapis, malah sebelum ada sistem penapisan
orang kampung terpaksa minum keruh kerana liputan air dari syarikat Air
Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) amat rendah, ada ketikanya tidak ada
langsung.
Jadi bila air tidak ada langsung orang kampung terpaksa guna air
telaga, tali air yang keruh dan kotor. Jadi bila ditapis ia jauh lebih
bersih," kata Dr. Ahmad Razin kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu bimbang pelbagai tuduhan
mengenai projek Penapis Air 1Malaysia oleh pihak tidak bertanggungjawab
kerana ia dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik.
Sebaliknya, sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Ahmad Razin, orang ramai
termasuk pihak terbabit, sepatutnya bersyukur dan berterima kasih atas
inisiatif yang diambil oleh kerajaan itu.
Sewajarnya juga kita menghayati firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat
7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan,
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat)
kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku
sangat berat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan