1 Oktober 2012

Sokongan rakyat meningkat

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Sokongan yang ditunjukkan rakyat Pulau Pinang terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin positif berdasarkan sokongan serta maklum balas semasa yang diterima parti itu.
Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, rakyat Pulau Pinang semakin celik selepas melihat corak pemerintahan pembangkang yang hanya memberi kelebihan kepada kelompok tertentu sahaja.
"Sebagai contoh, pemimpin pembangkang sering lantang mendakwa mereka juara dalam memperjuangkan kebebasan media. Yang peliknya, mereka jugalah yang mengamalkan sikap pilih bulu dengan 'mengharamkan' beberapa media arus perdana yang mengkritik kepimpinan mereka.
"Selama 18 tahun saya menjadi Ketua Menteri, saya tidak pernah mengharamkan mana-mana media sama ada kerajaan atau propembangkang. Mereka juga mengancam menyaman media dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-41 di sini hari ini.
Menurutnya, BN berpeluang menawan semula negeri yang dirampas pembangkang pada pilihan raya umum lalu termasuk Pulau Pinang sekiranya usaha mengembalikan kepercayaan rakyat dilipatgandakan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn turut membidas sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkan masih berada dalam fasa 'berbulan madu' kerana kejayaan merampas negeri tersebut.
"Saya hendak tanya beliau, sehingga hari ini apakah yang telah dilakukannya untuk rakyat Pulau Pinang selain terus mengambil pujian hasil kerja kerajaan terdahulu?
"Saya cabar Guan Eng membuktikan kepada kami contoh pelaburan pembangunan ekonomi yang telah dibawa beliau ke negeri itu tanpa bantuan kerajaan Pusat," katanya.
Tegas beliau, pembangkang juga belum bersedia memerintah negara dan rakyat tidak harus mempertaruhkan masa depan negara di tangan pemimpin pembangkang yang langsung tidak boleh dipercayai.
"Prestasi pembangkang mentadbir empat buah negeri sudah jelas membuktikan kelemahan mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 30/9/12

Tiada ulasan: