KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebanyak 476 usul daripada
191 bahagian UMNO dipersetujui untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung
UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 27 November
hingga 1 Disember ini.
Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, pihaknya menerima 521 usul dan 45 daripadanya diterima tanpa bahas manakala tiada usul ditolak.
"Usul-usul yang akan dibentangkan kali ini dipecahkan kepada beberapa
bahagian iaitu usul ekonomi yang akan diselaras Datuk Seri Mustapa
Mohamed dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin, usul agama oleh Datuk Seri
Jamil Khir Baharom dan usul pendidikan serta sosial dikendali oleh Datuk
Seri Dr. Zambry Abdul Kadir," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari
ini.
Beliau berkata, perjalanan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan
diselaraskan dengan lebih terperinci dan mesyuarat jawatankuasa susulan
akan digerakkan bagi menambah lebih ramai jawatankuasa untuk memastikan
perhimpunan berjalan dengan lancar.
Menurutnya, Perhimpunan Agung UMNO 2012 iaitu yang terakhir sebelum
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 itu dianggap sebagai persediaan terpenting
bagi memantapkan jentera parti.
Katanya, kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Tun Razak sejak tiga tahun lepas telah membawa banyak transformasi
yang menunjukkan parti tidak hanya bergerak statik malah merupakan
perkara terpenting yang perlu diterjemahkan para perwakilan pada
perhimpunan kelak.
"Kita harus sentiasa mengingatkan mereka (perwakilan) supaya
menjadikan isu transformasi serta perubahan sebagai agenda utama semasa
perbahasan. Saya bimbang jika perbahasan hanya berkisar kepada isu-isu
dalaman yang tidak akan menggambarkan kepimpinan perjalanan parti sejak
PRU Ke-12," katanya.
Hishammuddin berkata, perhimpunan itu dilihat sebagai cara terbaik
untuk mendekatkan parti kepada golongan sasar secara lebih menyeluruh
dan persediaan dilakukan lebih awal bagi memastikan perwakilan dapat
menyampaikan mesej kerajaan dengan jelas. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan