KUALA LUMPUR 20 Nov. - Sokongan pimpinan
Pas di beberapa negeri terhadap cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dilantik sebagai Perdana Menteri dianggap sebagai mesej tersirat akar
umbi parti yang tidak mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim memegang jawatan itu sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan
Raya Umum Ke-13.
Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk
Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, perkembangan terkini itu meletakkan Anwar
dalam keadaan serba salah memandangkan pakatan pembangkang sebelum ini
bersetuju beliau adalah calon bagi jawatan tersebut.
Menurutnya, terdapat kemungkinan
perwakilan Pas menyuarakan usul itu pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 di
Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini ekoran akar umbi parti hilang keyakinan
terhadap kewibawaan Anwar sebagai pemimpin.
''Kita dapat menyaksikan perbezaan
pendapat antara akar umbi Pas dan pucuk pimpinan pakatan pembangkang apabila
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam menegaskan Anwar
akan dilantik menjadi Perdana Menteri.
''Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Pas
menganggap Abdul Hadi lebih layak memegang jawatan itu berdasarkan imejnya
sebagai seorang pemimpin Islam dan tidak dikaitkan dengan sebarang isu
moral," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas sokongan pimpinan Pas di
beberapa negeri terhadap hasrat perwakilan Pas sepanjang muktamar tahunan parti
itu yang mencadangkan Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri.
Pemimpin-pemimpin Pas terbabit adalah
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa; Pesuruhjaya Pas Johor,
Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek
Abd. Ghani.
Berhubung pendirian Harakah yang
dilihat agak keberatan menyokong cadangan itu, beliau tidak menolak kemungkinan
lidah rasmi Pas itu akur kepada kehendak kumpulan Anwarinas di dalam parti.
''Kita berharap pihak editorial Harakah
menyatakan pendirian mereka tentang cadangan Abdul Hadi dilantik sebagai
Perdana Menteri dan bukannya sekadar menyiarkan laporan yang ditulis oleh
wartawan," ujarnya.
Tambah beliau, kegagalan Harakah mengetengahkan
suara akar umbi merupakan salah satu punca akhbar itu dikecam para perwakilan
pada muktamar tahunan tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121121/po_07/Akar-umbi-Pas-tidak-mahu-Anwar-jadi-PM#ixzz2DU1Sn6uX
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 28/11/12
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 28/11/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan